suria

PAS Tidak Kreatif Bangunkan Kelantan - Ibrahim Ali

KOTA BARU: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pada Isnin berkata Kelantan ketinggalan berbanding negeri-negeri lain kerana kerajaan negeri pimpinan PAS tidak kreatif dan inovatif dalam soal membangunkan negeri ini.

Beliau berkata mereka sebaliknya sering menuding jari ke arah kerajaan Pusat atas kelembapan pembangunan di negeri Pantai Timur itu.

"Kalau dia (PAS) dapat duit royalti pun, bagaimana mereka membelanjakannya memandangkan mereka tidak kreatif dan inovatif. Seminar pelaburan tak ada, lawatan ke luar negara cari pelabur pun tak ada.

"(Mereka) hanya cakap tak boleh buat projek kerana kerajaan Pusat sekat royalti," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Ibrahim, yang juga calon Bebas untuk kerusi Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini, berkata PAS menggunakan isu Islam dan tuntutan royalti semata-mata sebagai senjata untuk membangkitkan emosi rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain