suria

Nik Aziz Dinasihat Bersara Beri Peluang Generasi Muda Mentadbir - Tun M

PASIR MAS: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinasihatkan supaya bersara bagi memberi laluan kepada generasi muda untuk meneruskan kepimpinan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, beliau sendiri bersara ketika berusia 76 tahun kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin muda dan meminta supaya Nik aziz turut berbuat demikian.

"Saya bersara bukan kerana lemah. Tetapi saya bersara kerana hendak beri peluang kepada generasi muda bagi mengambil alih pentadbiran negara.

"Hanya mereka yang akan mewarisi kerajaan ini. Alangkah elok sekiranya mereka diberi peluang melatih diri untuk mentadbir dan membangunkan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Tok Him di sini, Ahad.

Turut hadir ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa; calon Bebas-Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, calon Barisan Nasional (BN)-DUN Tendong, Datuk Hanafi Mamat.

Dr Mahathir berkata, jika generasi muda diberikan peluang, maka mereka dapat menunjukkan kebolehan untuk memimpin negara.

"Kita ni dah tua, eloklah berundur. Janganlah sampai di ceramah pun kita sampai didukung, masih nak jadi menteri besar... sampai bila-bila.

"Peganglah kepada kebenaran. Kebenarannya ialah kalau tak mampu nak mentadbir. Berilah peluang kepada orang yang lebih cekap di kalangan orang-orang Barisan Nasional bersama-sama dengan Datuk Seri (Najib Tun Razak)," kata Dr Mahathir yang berusia 87 tahun.

Dilaporkan bahawa walaupun keadaan kesihatan Nik Aziz, 82, sering dipersoalkan tetapi Menteri Besar Kelantan itu menetapkan pendirian untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Artikel Sebelum

Artikel Lain