suria

Mustahil Pengundi Pos Undi Dua Kali - SPR

Datuk Wan Ahmad Wan Omar
 Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Datuk Wan Ahmad Wan Omar

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak sebarang dakwaan PAS kononnya pengundi pos di kalangan petugas media dan suruhanjaya itu mempunyai peluang sekali lagi untuk mengundi sebagai pengundi biasa pada 5 Mei ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dakwaan berkenaan berniat jahat dan karut selain sengaja menimbulkan keraguan terhadap suruhanjaya itu.

"Ini semua karut kerana mustahil orang yang layak mengundi pos akan berpeluang mengundi sekali lagi sebagai pengundi biasa.

"Bagi kumpulan yang layak menjadi pengundi pos, nama mereka secara automatik akan dipotong dalam daftar pemilih SPR yang akan digunakan pada hari pengundian biasa. Jadi mana mungkin mereka akan mengundi dua kali," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Mengulas lanjut Wan Ahmad berkata, setiap nama pengundi berdaftar hanya akan dicetak di salah satu daftar pemilih iaitu sama ada daftar pemilih pengundi pos, pengundi awal ataupun pengundi biasa.

"Mustahil berlakunya pertindihan kerana setiap identiti pemilih dikenal pasti melalui 12 digit nombor kad pengenalan masing-masing," katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwan PAS kononnya wujud usaha agar nama petugas media dan SPR yang layak mengundi pos digunakan semula menggunakan nombor MyKad palsu untuk menjadi pengundi biasa pada 5 Mei nanti.

Menerusi sidang media sebelum itu, Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Aris Awang mendakwa penipuan itu boleh dilakukan kerana jari pengundi pos tidak dicalit dengan dakwat kekal seperti yang akan dilakukan kepada pengundi awal dan pengundi biasa.

Bagaimanapun Aris gagal mengemukakan bukti wujud pertindihan nama seperti yang didakwanya.

Ditanya sama ada PAS menuduh petugas media dan SPR terlibat dalam usaha penipuan berkenaan seperti yang didawa mereka, Aris bagaimanapun menafikannya.

Sebaliknya beliau sekali lagi mendakwa ia membabitkan petugas media palsu.

"Bukan petugas media di sini, ia mungkin petugas media yang direka...petugas media 'hantu' (pengundi hantu)," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain