suria

Lebih 1.5 Juta Anggota PPPKM Ikrar Sokong Najib

KUALA LUMPUR: Lebih 1.5 juta anggota Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (PPPKM) berikrar memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta sedia membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Presidennya Datuk Ramli Norani berkata sejak pembubaran Dewan Rakyat 3 April lepas, beliau telah mengarahkan semua Yang Dipertua (YDP) PPPKM negeri menggerakkan anggota masing-masing untuk memberi penerangan kepada penjaja mengenai kepentingan mengekalkan mandat BN mengikut zon yang dikenal pasti.

"Kita perlu menghantar mesej jelas kepada rakan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara mengenai jasa BN terhadap kita, supaya mereka tidak termakan dengan hasutan dan dakyah untuk menukar kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media khas Aku Janji Gabungan PPPKM untuk memastikan kemenangan BN pada PRU-13 di sini Isnin.

Ramli berkata, pelbagai bantuan tidak pernah putus serta kemudahan lain diberikan kerajaan BN kepada setiap warga penjaja dan peniaga kecil terutama sejak Najib menerajui kepimpinan negara, empat tahun lepas.

"Kerajaan telah sediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat yang semuanya untuk membantu kita mendapat akses pinjaman yang mudah dan menguruskan perniagaan dengan baik," katanya.

Beliau berkata penjaja dan peniaga kecil yang berada di bawah negeri ditadbir pembangkang di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah juga tidak pernah dipinggirkan kerajaan BN.

"Saya sendiri selaku YDP PPPKM Selangor tidak nampak usaha pembangkang menyediakan peruntukan kepada kami walaupun dalam hal menyediakan kursus pembangunan dan kemahiran kepada kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain