suria

Kebajikan Anggota ATM Terus Terbela Di Bawah BN - Zahid

LUMUT: Kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus terbela jika Barisan Nasional (BN) masih mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN sentiasa menghargai pengorbanan anggota keselamatan dengan menyediakan kehidupan lebih selesa, kenaikan gaji dan pangkat yang berterusan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menambah dan menyediakan aset serta inventori berkualiti kepada ATM dan warganya terutama ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. "Malah selepas beliau menjadi perdana menteri, beliau masih menjaga kebajikan anggota keselamatan. Ini membuktikan BN sentiasa relevan dan prihatin terhadap anggota keselamatan," katanya pada perhimpunan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, di sini Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Katanya pembangkang tidak mungkin akan dapat menjaga kebajikan anggota tentera sebaik BN.

"Pembangkang pernah cakap bahawa mereka akan mengkaji jumlah anggota polis sekiranya mereka menang, justeru tidak mustahil kalau bilangan tentera juga akan dikaji dan mungkin akan ada yang hilang pekerjaan.

"Tindakan pembangkang boleh menimbulkan kesan negatif untuk negara. Jangan biarkan mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak berkemampuan memerintah negara kerana ia akan memusnahkan masa depan anak cucu kita," katanya.

Beliau berkata BN juga telah membangunkan pelbagai projek prasarana di TLDM Lumut yang siap pada tahun lepas seperti bangunan markas bantuan, bangunan markas udara, bangunan pusat pembangunan wanita dan kompleks tertutup.

"Bangunan dalam pembinaan pula ialah bangunan STRIDE, jeti operasi danFakulti Pendidikan KD Pelandok," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain