suria

Jabu Gesa Penyandang Kerusi Mas Gading Timbang Semula Keputusan

LUNDU: Penyandang kerusi Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), diminta menimbang semula keputusannya demi perpaduan Bidayuh di kawasan berkenaan, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata Dr Tiki, anak Bidayuh dan sudah menyandang kerusi itu selama tiga penggal sejak 1999, tidak sepatutnya melepaskan kemarahan kerana tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN), dengan mencabar calon BN, Anthony Nogeh Gumbek, pada pilihan raya ini.

"Lebih baik bersatu daripada berpecah. Kami sudah menyokong Dr Tiki sepenuh hati pada masa lepas semasa beliau menjadi calon BN. Kini tiba giliran beliau untuk menyokong siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan hak milik tanah kepada 919 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) di sini.

Jabu yang juga pengarah operasi BN Sarawak bagaimanapun berkata nasihat beliau kepada Dr Tiki itu bukan menunjukkan beliau (Tiki) merupakan ancaman besar kepada BN untuk mempertahan Mas Gading, namun semata-mata mahu beliau menyedari mengenai pentingnya mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Bidayuh, yang merupakan kumpulan dominan di kawasan parlimen itu.

"Adalah tidak wajar bagi Dr Tiki, akibat kekecewaan tidak dipilih sebagai calon, melepaskan kemarahan dengan mencabar BN yang sudah menyiapkan agenda besar untuk pembangunan di Mas Gading," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain