suria

BN Mahu Bangunkan Jerlun Sebagai Pusat Industri Minyak & Gas - Mukhriz

JERLUN: Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah untuk membangunkan Jerlun sebagai hab industri minyak dan gas mampu mewujudkan ribuan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat di kawasan yang dikatakan mundur itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata peluang pekerjaan itu adalah seiring dengan hasrat BN dalam meningkatkan pendapatan isi rumah ke tahap lebih tinggi.

"Sudah tentunya dengan menjadikan Jerlun sebagai hab minyak dan gas akan membuka peluang pekerjaan bukan yang biasa-biasa tetapi peluang pekerjaan yang pendapatannya tinggi.

"Yang penting bukan dari segi jumlah peluang pekerjaan tetapi lebih kepada kualiti, peluang pekerjaan yang kita nak berikan bukan setakat gaji RM300 hingga RM400, yang kita mahu belasan ribu," katanya kepada Bernama.

Mukhriz yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Jerlun kali ini bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dalam usaha BN merampas semula kerusi itu daripada PAS yang mempertaruhkan penyandang Abd Ghani Ahmad.

Mukhriz sebelum ini pernah membangkitkan mengenai perbezaan ketara pembangunan di kawasan Parlimen Kubang Pasu dan Parlimen Jerlun walaupun kedua-dua kawasan itu berada dalam daerah Kubang Pasu.

Parlimen Kubang Pasu yang diwakili bapa beliau iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1974 sehingga Dr Mahathir bersara pada 2003, cukup membangun manakala kawasan Parlimen Jerlun yang sering berganti wakil rakyat antara BN dan PAS jauh ketinggalan.

Usaha membangunkan Jerlun sebagai pusat industri minyak dan gas dilihat mampu mengimbangi pembangunan antara dua kawasan parlimen terbabit.

Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi BN Kedah, berkata rakyat atau anak jati Kedah sendiri perlu mempertingkatkan keupayaan dan kelayakan mereka bagi mengisi jawatan yang akan ditawarkan apabila hab minyak dan gas dibangunkan.

"Walaupun kita mengalu-alukan rakyat Malaysia dari negeri-negeri lain turut berhijrah ke negeri Kedah ini untuk memenuhi kekosongan itu, tapi sebaik mungkin rakyat Kedah sendiri yang perlu mendapat manfaat secara langsung dalam pembangunan yang akan dilakukan sekiranya BN memerintah," katanya.

Mukhriz berkata kewujudan hab minyak dan gas pastinya memberikan impak besar kepada masyarakat setempat dan seterusnya memastikan pembangunan modal insan yang lebih baik kepada rakyat Kedah.

"Ia merupakan satu projek yang besar, sudah tentu memberi impak yang besar kepada masyarakat setempat tetapi bagi saya yang penting sekali ialah untuk memastikan pembangunan modal insan supaya warga Jerlun termasuk di Ayer Hitam, malah warga Kedah dapat mengambil bahagian dalam industri yang baru ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain