suria

Ahli BN Tanding Calon Bebas di Sabah Tidak Terima Balik - Musa

BELURAN: Ahli parti komponen Barisan Nasional (BN)di Sabah yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum ke-13 ini tidak akan diterima masuk semula dalam mana-mana parti komponen BN.

Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata mereka merupakan pengkhianat BN dan selepas bertanding sebagai calon Bebas, mereka tidak ada apa-apa kaitan dengan BN lagi. "Mereka boleh bergerak bebas dan tiada kena mengena lagi dengan BN. Orang ini tidak akan diambil balik oleh BN," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah kepada 122 penduduk dari lima kampung di Telupid pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan calon Bebas berkenaan supaya tidak menggunakan nama BN dalam perjuangan mereka terutama ketika berkempen pada pilihan raya umum ini.

Ketua Menteri Sabah itu menyifatkan calon Bebas serta calon parti pembangkang antaranya PKR dan Parti Reformasi Rakyat (Star) tidak mempunyai kemampuan untuk membela nasib rakyat.

Sebagai contoh, Musa berkata Star merupakan parti pembangkang dari Sarawak yang tidak diterima di negeri itu.

Beliau yakin rakyat Sabah pandai dan bijak menilai perjuangan parti pembangkang dan calon Bebas.

"Jangan terperangkap dan tertipu dengan parti kecil ini yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk rakyat. Kita (BN) tak cakap sombong dan takbur tetapi mempunyai bukti serta rekod baik memperjuangkan nasib rakyat," kata Musa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain