suria

Terowong Dasar Laut Pulau Pinang Bukan Penyelesaian Elak Kesesakan

GEORGE TOWN: Pembinaan terowong dasar laut yang dirancang kerajaan negeri pimpinan DAP sebenarnya tidak menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Presiden Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant) Khoo Kay Peng berkata, pembinaan terowong itu sebaliknya akan memberi impak negatif kepada penduduk setempat, selain menjejas ekosistem dasar laut, khususnya taman paya bakau berhampiran kawasan pembinaan yang dicadangkan untuk terowong berkenaan.

"Persiaran Gurney adalah tempat ikonik di Pulau Pinang, dan satu-satunya kawasan terbuka untuk rekreasi awam.

"Justeru, kerajaan negeri seharusnya memberi butiran lanjut seperti kos pembinaan, kesan kepada alam sekitar dan sejauh mana pembinaan itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang," katanya ketika membantah pembinaan terowong itu bersama kira-kira 400 penduduk setempat di Persiaran Gurney Ahad.

Khoo mendakwa hasil kajian yang dilakukan menunjukkan sejumlah 1,000 penduduk sekitar keliru dengan cadangan pembinaan terowong itu dan menyuarakan kerisauan berkaitan kesan pembinaannya.

"Kita bukan memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi ini adalah untuk kepentingan penduduk setempat yang mahukan butiran lanjut berhubung pembinaan terowong itu, sama ada memberi manfaat kepada mereka atau tidak," katanya.

Khoo berkata bantahan itu dianjurkan buat pertama kali kerana penduduk sekitar berasa terdesak dan kesal dengan kerajaan negeri yang menyatakan pembinaan terowong berkenaan akan diteruskan, jika mereka menang pada pilihan raya kali ini.

Pada Februari lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mencadangkan projek mega berjumlah RM6.3 bilion membabitkan empat lebuh raya, termasuk terowong dasar laut.

Projek mega itu merangkumi terowong dasar laut sejauh 6.5 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam.

Menurut kerajaan negeri, projek mega itu adalah bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang menjadi masalah utama di bahagian pulau. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain