suria

Razali Cabar PAS Sentuh Isu Hudud di Johor

MUAR: PAS dicabar untuk menyentuh isu hudud dalam setiap ceramah mereka di Johor jika parti itu benar-benar berani untuk memperjuangkan hukum tersebut.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, parti itu tidak konsisten apabila hanya mengutarakan isu hudud pada ceramah yang dilakukan di negeri pemerintahan mereka.

"Saya cabar mereka untuk sentuh isu hudud di negeri ini terutamanya di Gelang Patah kalau mereka benar-benar mahu melaksanakannya.

"Mereka hanya berani bercakap berkenaan hudud hanya di Kelantan yang mejoriti masyarakat Melayu dan perkara ini melihat parti itu tidak konsisten," ujarnya pada sidang media selepas Program Saintai Mesra Bersama Masyarakat Tiong Hwa, di sini, malam Sabtu.

Turut hadir calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Datuk Zulkhairi Ahmad.

Tegasnya, parti tersebut tidak pernah menjelaskan tentang manifesto mereka dan menerangkan perlaksanaan hudud jika dilaksanakan di negara ini.

"Mereka tidak sentuh perkara itu kerana tahu PKR dan DAP tidak sokong. Kalau dia kempen juga susahlan calon parlimen dia di sini.

"Selain itu mereka juga mempunyai masalah untuk kempen bersama kerana ada tempat-tempat yang mereka bertanding sesama sendiri. Ini bukti mereka tidak konsisten," ujarnya.

Sementara itu, menyentuh soal Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Haji Awang yang mendedahkan terdapat ahli PKR yang mengedar pil kuda, Razali berkata beliau (Abdul Hadi) sepatutnya bertanggungjawab melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

"Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya melaporkan perkara itu kepada polis kerana ia adalah satu jenayah," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain