suria

Rakyat Kelantan Akan Dapat Lebih Daripada Royalti Jika BN Menang - Tun M

PASIR MAS: Barisan Nasional (BN) akan memberikan rakyat Kelantan bukan sahaja royalti minyak tetapi lebih daripada itu sekiranya dapat menang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun minyak itu terdapat di Kelantan tetapi ia adalah milik rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Dan kita bertanggungjawab supaya duit (minyak) ini digunakan dengan cara yang baik. Insya-Allah kalau Barisan Nasional akan menang di Kelantan dan hubungan rapat antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat, maka bukan sahaja setakat royalti minyak tetapi lebih daripada itu untuk Kelantan.

"Ini supaya pembangunan di Kelantan sama seperti di negeri-negeri lain, mungkin lebih lagi daripada tempat-tempat lain di Malaysia," katanya di sini, Ahad.

Dr Mahathir berkata, PAS perlu menentukan kegunaan mereka terhadap royalti minyak yang merupakan milik rakyat.

"Kita tahu dia (PAS) nak gunakan untuk parti, bukan untuk kerajaan (negeri). Sebab itu kita berhati-hati kerana ini adalah duit rakyat, dan seperti mana (Mursyidul Am PAS) Datuk Nik Aziz (Nik Mat) kata dia bertanggungjawab untuk rakyat, kita (BN) pun bertanggungjawab untuk rakyat.

"Kerajaan Barisan Nasional tidak akan teragak-agak akan memberi duit minyak ini kalau hendak digunakan untuk pembangunan negeri Kelantan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain