suria

PRU-13: Hanya Tiga Orang Sahaja Tahu Warna Dakwat Kekal

Kamaruddin Mohamed Baria
Kamaruddin Mohamed Baria
Kamaruddin Mohamed Baria

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin warna dakwat kekal yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) ini masih kekal rahsia dan tidak mungkin ditiru kerana hanya tiga orang sahaja yang tahu mengenainya.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata selain beliau, hanya Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan seorang lagi individu yang tidak boleh didedahkan namanya tahu warna sebenar dakwat kekal itu.

"Jadi kita percaya tidak akan terkeluar warna dakwat itu," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR, di sini Ahad.

Kamaruddin berkata warna dakwat yang unik dan lain daripada yang lain juga membolehkan pegawai SPR mengenal pasti jika ada pengundi yang dicalit dengan dakwat lain.

Katanya bahan yang diguna untuk membuat dakwat itu juga adalah lain daripada kebiasaan, sekali gus tidak memungkinkan untuk ditiru.

Menjawab kegusaran orang ramai mengenai dakwat yang mungkin mengotorkan kertas undi dan menyebabkannya menjadi undi rosak, Kamaruddin berkata jika kertas itu benar-benar rosak, SPR akan mengeluarkan kertas undi yang baharu.

Bagaimanapun katanya pengundi perlu mengisi borang yang disediakan terlebih dahulu. Kamaruddin berkata dakwat itu juga adalah jenis mudah kering, malah SPR akan turut menyediakan tisu untuk mengelap kesan dakwat.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membenarkan mana-mana pihak mencalit sebarang dakwat sebelum mengundi bagi mengelakkan timbul masalah lain.

Hanya pegawai SPR dibenarkan mencalit dakwat di jari pengundi, tegasnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain