suria

Polis Kenal Pasti Suspek Kes Tetak Kerana Tagih Hutang

DUNGUN: Polis mengenal pasti suspek utama dalam kes menetak seorang lelaki kerana menagih hutang di Kampung Binjai di sini Sabtu, tetapi belum berjaya menahannya.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata pihak polis telah pergi ke rumah keluarga suspek yang berusia 30-an itu tetapi gagal menemuinya.

Beliau berkata tiga lagi identiti suspek yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan sedang di kenal pasti.

Dalam kejadian 10 pagi Sabtu, seorang lelaki berusia 40 tahun parah di kepala, badan dan tangan akibat ditetak empat individu selepas dia menagih hutang sebanyak RM20 dari suspek utama yang merupakan rakannya.

Mangsa dilanggar dengan kereta dan ditetak dengan kapak dan parang.

Manoharan berkata mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di kepala di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

"Mangsa telah sedar dan kita masih menunggu keadaan mangsa sehingga pulih untuk mendapatkan butiran lanjut berhubung kejadian itu," katanya kepada Bernama. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain