suria

PAS Komited Teruskan Hudud - Mustafa

KUALA LUMPUR: PAS tetap komited kepada agenda mewujudkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud walaupun DAP menentangnya, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"Tiada orang Islam boleh atau berani menolak hudud.

"Ia (mewujudkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud) kekal dalam polisi PAS dan kami akan meneruskan perjuangan parti mengenai perkara itu," katanya.

Beliau berkata, setiap parti dalam Pakatan dibenarkan untuk meneruskan agenda mereka jika ia tidak menjadi sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama mereka.

"DAP mempunyai hak untuk menolak hudud kerana kita telah mendapat kesepakatan untuk tidak bersetuju tetang hudud bagi pihak DAP," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mustafa berkata, beliau akan memberi ucapan mengenai dakwaan sebuah video seks yang dikaitkan dengannya pada satu ceramah di Rusila, Marang, 3 Mei ini.

Beliau enggan memberikan sebarang komen atau membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut.

Bagaimanapun Mustafa berkata beliau akan mempertahankan dirinya dalam saman fitnah terhadapnya yang difailkan oleh Umno pada 23 April.

Saman fitnah itu difailkan terhadap Mustafa berhubung dakwaannya yang mengaitkan Umno terlibat dengan penyebaran video lucah di laman sesawang.

Sementara itu, Mustafa berkata PAS menarik diri daripada pertembungan enam penjuru di kerusi Parlimen Kota Damansara yang dipertahankan oleh Presiden Parti Sosialis Malaysia, Mohd Nasir Hashim yang bertanding di bawah lambang PKR.

Artikel Berikut

Artikel Lain