suria

Najib Janji Turunkan Harga Rumah Di Bukit Botak Kepada RM70,000

RAWANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi aku janji untuk menurunkan harga untuk 1,422 unit rumah di projek perumahan mampu milik Bukit Botak, Selayang dekat sini daripada RM112,000 seunit yang dinaikkan oleh kerajaan Selangor sebelum ini, kepada RM70,000 seunit.

Beliau memberi aku janji itu ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 penduduk Kampung Melayu Batu 16 di sini semasa mengadakan program turun padang di Dewan Majlis Perbandaran Selayang di kampung pada Ahad..

"Sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, saya buat aku janji bahawa projek perumahan di Bukit Botak yang telah dinaikkan harganya sampai RM112,000 daripada (harga asal) RM45,000, kita akan jual RM70,000.

"Ini bukan seperti manifesto dibuat pakatan pembangkang yang kata ia bukan satu janji tetapi kita (BN) apabila berjanji kita akan tunaikan janji itu," katanya.

Projek perumahan rumah berkembar itu yang diambil alih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) daripada pemaju terdahulu pada 2010 melibatkan 961 penduduk projek penempatan semula Bukit Botak. Pada majlis itu calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal dalam ucapannya telah mengutarakan masalah para penduduk terbabit setelah Kerajaan Negeri Selangor bertindak menaikkan harga rumah itu tiga kali ganda.

"Ini cukup zalim dan tidak patut berlaku. Harap Perdana Menteri memberi bantuan untuk menurunkan harga rumah itu kepada RM70,000 seunit," kata Subahan.

Najib berkata kekalahan BN di Selangor pada pilihan raya umum 2008 memberi tamparan cukup hebat kepada parti itu.

Bagaimanapun, katanya, selepas lima tahun pakatan pembangkang mentadbir Selangor, BN sudah bersedia untuk merobohkan benteng Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pembangkang sekali gus menguasai kembali pentadbiran di negeri ini.

"Petunjuk sudah ada, ramai orang sudah kecewa (dengan pembangkang) seperti ibu tunggal dan penduduk yang hadapi masalah seperti pagar rosak dan kubah masjid, mereka akan cari wakil rakyat BN. "Menteri Besar Selangor juga sudah terjun tingkap dari Ijok ke Pelabuhan Klang tetapi kenapa wakil rakyat BN tidak lari? Sebab apa? Sebab mereka (pembangkang) lima tahun tidak buat apa-apa dan hanya janji kosong serta tipu rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata BN tidak akan membenarkan pembangkang berterusan menipu rakyat dan memberi jaminan parti itu tidak akan mengikut langkah pembangkang sebaliknya akan menepati segala janji yang telah diberikan kepada rakyat.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Al-Ehsaniah Kampung Melayu, Batu 16.

Beliau juga menerima borang permohonan keanggotaan Umno daripada 200 bekas anggota PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudiannya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain