suria

Kegagalan Sistem Rumah Pam, 12,000 Pelanggan Di Gombak Alami Gangguan Air

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12,000 akaun pengguna sekitar Wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran kegagalan sistem rumah pam Wangsa Maju, apabila satu daripada empat pam berhenti beroperasi pada Sabtu.

Penolong Pengurus Besar Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred dalam kenyataannya pada Ahad berkata, kebiasaannya empat pam beroperasi bagi membekalkan air kepada para pengguna berikutan permintaan yang tinggi di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak.

Antara kawasan yang mengalami gangguan adalah AU1, AU2, AU3, AU4, AU5, Taman Sri Keramat, Keramat, Desa Setapak, Wangsa Melawati, Taman Sri Rampai, Taman Permata, Tasik Tambahan, Taman Ampang Campuran dan Ampang Tasik Permai.

Syabas menjangkakan pemulihan bekalan air ke semua kawasan terlibat adalah secara berperingkat sehingga malam esok bergantung kepada keupayaan sistem di Rumah Pam Wangsa Maju.

"Syabas akan melakukan pemantauan di kolam perkhidmatan yang terjejas supaya tempoh pemulihan bekalan air di semua kawasan terlibat dapat dipulihkan segera," katanya.

Selain itu Syabas juga meletakkan lori-lori tangki dalam keadaan siap sedia untuk membantu membekalkan air kepada para pengguna yang terjejas dengan gangguan itu.

Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252.

Sehingga 12 tengah hari tadi, Syabas menerima 412 aduan berhubung ketiadaan air dan 67 aduan mengenai tekanan air rendah di Wilayah Gombak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain