suria

Anwar Jadi PM: Nizar Hormat Kenyataan Yusuf Qaradawi, Kunci Mulut Pendirian PAS

KUALA KANGSAR: Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menghormati kenyataan Ketua Ijtihad Ulama Sheikh Dr Mohd Yusof Al Qaradawi yang menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika menang pilihan raya.

Katanya kenyataan tokoh Islam terkemuka dunia itu merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak seharusnya menjadi pertikaian.

"Itu hak peribadi Yusuf Qaradawi. Beliau bagi kenyataan inilah pandangannya berkenaan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita kena hormati pimpinan dan pendapatnya," katanya kepada pemberita selepas mendengar Amanat Presiden Datuk Seri Hadi Awang, di hadapan penyokong-penyokong PAS, dekat sini, lewat malam Sabtu.

Mohd Nizar bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau dan PAS turut sama menyokong kenyataan berkenaan.

"Itu adalah pendapat beliau. Kita tak boleh pertikaikan, terima kasih," jawabnya ringkas.

Bagaimanapun, Mohd Nizar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri dalam ucapannya terdahulu pada majlis yang sama dilihat seolah-olah memberi bayangan bahawa Hadi akan diangkat sebagai perdana menteri jika PR menang pilihan raya 5 Mei ini.

Beliau memberi bayangan bahawa jika PR berjaya menawan Putrajaya, pemimpin tertinggi PAS itu buat pertama kalinya akan mengimamkan solat dan membaca khutbah Jumaat pada Jumaat pertama selepas pilihan raya iaitu pada 10 Mei.

"Bila lagi kita mahu tengok perdana menteri kita mengimamkan solat Jumaat? Bila lagi mahu tengok pemimpin negara membaca khutbah Jumaat yang belum pernah dibuat pemimpin sebelum ini," katanya di hadapan Hadi dan pimpinan PR negeri serta penyokong-penyokong PAS yang hadir.

Jumaat lalu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat melancarkan surat terbuka Yusuf Qaradawi di sebuah surau di Pantai Dalam.

Kenyataan terbuka itu antara lain menyebut Anwar sebagai orang paling layak menjadi pemimpin Malaysia dan dapat membangun serta memajukan negara dari semua sudut.

Artikel Berikut

Artikel Lain