suria

Polis Mudahkan Proses Permohonan Permit Ceramah Di Perak

IPOH: Pihak polis telah memudahkan proses permohonan permit bagi pihak yang ingin mengadakan kempen dan ceramah pilihan raya di sekitar Perak.

Jurucakap pilihan raya bagi media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak Supritendan Maszely Minhad berkata ini kerana setiap ceramah yang dijalankan perlu mendapat kebenaran dan permit daripada polis.

"Pihak polis telah memudahkan proses untuk memohon mengadakan ceramah. Tidak ada masalah (kelulusan) walaupun permohonan dibuat pada saat akhir.

"Pihak polis perlu mengambil kira faktor-faktor keselamatan. Kita mahu elakkan sesuatu ceramah diadakan pada waktu yang sama dan di tempat berhampiran," katanya pada sidang media di IPK negeri, dekat sini, Sabtu.

Maszeli berkata dua ceramah yang diadakan serentak dan di kawasan berhampiran biasanya menjadi punca ketegangan dan pergaduhan.

Justeru katanya, penganjur atau pihak yang ingin mengadakan ceramah perlu memberi kerjasama kepada pihak polis.

"Jika mereka datang dan memohon, kita akan luluskan.

"Kita telah menerima arahan supaya memberi kelulusan ceramah kepada mana-mana parti sekali pun...kita tidak bersikap berat sebelah terhadap isu ini," katanya.

Mengulas lanjut Maszeli berkata secara keseluruhannya bilangan ceramah yang diadakan tanpa permit di Perak dilihat semakin menurun dari hari ke hari.

Pada Jumaat, sebanyak 137 ceramah telah diadakan dan 123 ceramah mendapat permit polis.

Pun begitu katanya, pihak polis tidak akan berhenti menasihati penganjur supaya memohon permit sehinggalah tiada lagi laporan ceramah diadakan tanpa kebenaran polis.

Mengenai ceramah tanpa permit yang telah diadakan, pihak polis telah mengenal pasti, merekod dan akan mengambil tindakan.

"Jika ceramah berjalan lancar, aman dan terkawal kita tidak akan ambil tindakan tapi kita akan tetap memantau.

"Kita akan nasihatkan mereka supaya memohon permit untuk ceramah akan datang kerana undang-undang adalah sangat jelas,"katanya.

Beliau menjelaskan mengadakan ceramah tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Artikel Sebelum

Artikel Lain