suria

MCA Berkerja Keras Menangi Hati & Minda Pengundi Cina

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

IPOH: Sudah seminggu sejak calon pilihan raya umum ke-13 memulakan siri kempen mereka untuk bertemu pengundi menerusi tinjauan mesra, ceramah dan persinggahan di kedai kopi berbekalkan manifesto serta berjabat tangan.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak ketinggalan melakukan kunjungan ke kawasan yang pernah menjadi pengeluar utama bijih timah ini dalam usaha memenangi sokongan daripada kaum Cina.

Berusaha keras menentang pendapat bahawa MCA berdepan perjuangan 'hidup atau mati' dalam pilihan raya ini, Dr Chua, yang tidak bertanding kali ini, berkata tugas itu sukar bukan sahaja kepada MCA tetapi semua parti politik.

"Ini bukanlah kerja sambil lewa bagi Umno, MIC, DAP, PAS atau PKR. Ia satu tugas yang sukar bagi setiap parti dalam setiap pilihan raya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dr Chua berkata sokongan daripada kaum Cina tidaklah seburuk yang didakwa. "Kami berkeyakinan bahawa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai jenama, anggota MCA lebih bersatu dan kaum Cina sedar pembangkang tidak berbuat apa-apa kecuali mencipta isu dan menyemai kebencian.

"Semakin ramai kaum Cina yang mahukan kestabilan ekonomi dan politik, jadi pada akhirnya, mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN)," katanya.

MCA bertanding 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi dewan undangan negeri, tiga kerusi parlimen kurang berbanding pilihan raya 2008, dengan 68 muka baharu dalam kalangan 127 calonnya. Dalam pilihan raya sebelum itu, parti itu hanya memperoleh 15 kerusi parlimen dan 32 DUN.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamuragan Pandian berkata Dr Chua bekerja keras untuk memenangi semula sokongan kaum Cina namun keseluruhannya sokongan kaum berkenaan adalah statik.

Beliau berkata MCA berdepan perjuangan hidup atau mati dan dalam minggu-minggu mendatang, parti itu juga perlu memenangi hati pengundi atas pagar serta meyakinkan pengundi Cina bahawa mereka memerlukan wakil dalam kerajaan untuk menyuarakan pandangan dan masalah mereka.

Dr Sivamuragan berkata 'faktor Najib' adalah penting untuk menambat hati pengundi Cina di negara ini.

"Lihat apa yang telah Najib laksanakan buat kaum Cina. Beliau memerlukan mandat yang kukuh untuk meneruskan pelbagai program transformasi. Jika kaum Cina mahu beliau melakukan lebih lagi, beliau tidak boleh melakukannya sendirian. Beliau memerlukan wakil daripada kaum Cina," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain