suria

Jika Benar Tuntutan Royalti RM12 Bilion, Ia Perlu Diguna Untuk Masa Depan Kelantan - Mustapa

MACHANG: Jika tuntutan royalti oleh kerajaan negeri Kelantan sebanyak RM12 bilion itu adalah benar, ia sepatutnya digunakan untuk masa depan negeri dan bukan diperuntukkan kesemuanya dalam 23 perkara yang ditawarkan di bawah manifesto PAS Kelantan.

Pengerusi Barisan Nasional Kelantan (BN), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kesemua 23 perkara yang ditawarkan oleh PAS negeri itu berbentuk elaun dan bantuan kepada rakyat Kelantan.

"Kalau (benar) pun ada wang itu, kita kena gunakan untuk masa depan, bukan untuk 'makan la ni' (guna sekarang). Ia sepatutnya digunakan untuk pembangunan struktur, bina kekuatan, pendidikan, bina kapasiti. Takkanlah semua nak diberikan kepada semua.

"(Bantuan) tu memang baguslah, tetapi kalau kesemua RM12 bilion itu hendak digunakan untuk tujuan tersebut maka masa depan negeri Kelantan akan 'gelap-gelita'," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Machang dekat sini, Sabtu.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan royalti RM12 bilion oleh kerajaan negeri yang akan digunakan dalam 23-sub tawaran kepada rakyat di negeri itu, di bawah tawaran untuk memperjuangkan hak rakyat negeri atas prinsip federalisme (perlembagaan).

Antara 23 sub-tawaran itu ialah bantuan elaun penjagaan anak-anak berumur di bawah 12 tahun RM100 untuk setiap keluarga, bantuan warga emas RM1,000 seorang, sumbangan ibadat Haji kali pertama RM1,000 seorang, bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi RM1,000 seorang.

Mustapa berkata, setiap perkara seharusnya mempunyai perancangan masa depan dan bukan menggunakan semua peruntukan itu sebagai bantuan untuk rakyat.

"Ianya bagus, tetapi kita harus ada perancangan membina kekuatan untuk masa depan dalam menarik pelaburan dan memperbaiki infrastruktur supaya Kelantan lebih menarik.

"Pada masa ini, tiada tarikan kepada para pelabur untuk membuat pelaburan di Kelantan. Saya tak nafikan pentingnya bantuan. Tetapi kalau kita hanya tumpukan bantuan semata-mata maka kerajaan negeri tiada perancangan yang baik," katanya.

Mengenai tuntutan royalti RM12 bilion itu, Mustapa menjelaskan bahawa ia adalah tidak berasas kerana tanpa berpandukan pada peruntukan undang-undang.

"Sebab itu kita tubuhkan jawatankuasa yang akan menentukan apakah hak kerajaan negeri Kelantan dan berapa banyak yang perlu dibayar.

"Pada masa ini, bagi Kerajaan Pusat (berpendapat) bahawa jumlah tuntuan RM12 bilion itu tidak mempunyai asasnya, yang tidak berpandukan pada peruntukan undang-undang.

"Apapun satu jawatankuasa sudah pun ditubuhkan, maka semua pihak haruslah menunggu keputusan yang akan dibuat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain