suria

Hentikan Taktik Perkecilkan SPR Untuk Kelirukan Rakyat Demi Raih Undi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan taktik pihak tertentu yang sengaja menimbulkan persepsi buruk terhadap badan itu hanya berdasarkan kepada dakwaan yang tidak berasas.

Justeru, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meminta para pengundi supaya berhati-hati dengan taktik itu yang bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan kemarahan pengundi terhadap kewibawaan SPR.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata terdapat pihak-pihak yang cuba menyalahkan SPR seperti dalam isu penarikan diri calon, sedangkan perkara itu telah ditetapkan dalam peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) (No.2) 2012, yang berkuat kuasa 27 April 2012.

"Dalam peraturan itu jelas sebut mana-mana calon yang pegawai pengurus pilihan raya sudah umumkan mereka bertanding tidak boleh menarik diri selepas proses penamaan calon tamat.

"Undang-undang ini dibuat di Parlimen dan takkan SPR nak langgar undang-undang," katanya. Beliau mengulas laporan media pakatan pembangkang yang semakin giat menyalahkan SPR khususnya dalam soal penarikan diri calon selepas hari penamaan 20 April lepas, yang kekal dianggap bertanding dan nama calon itu tetap dicetak pada kertas undi dan undi yang diperolehnya dikira.

Pakatan pembangkang memainkan isu proses baru pilihan raya yang tidak mempunyai tempoh bantahan itu dan tiada istilah menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon tamat sebagai instrumen untuk meraih simpati pengundi dalam berkempen.

Sehubungan itu, Wan Ahmad meminta mana-mana parti politik agar menghentikan perbuatan mereka itu yang jelas mengelirukan rakyat serta boleh menimbulkan kekacauan.

Beliau merasakan motif parti politik tersebut, yang membuat tuduhan tidak berasas adalah untuk memburukkan agensi itu kerana mereka kekurangan modal politik dan mengharapkan tuduhan sebegitu dapat menaikkan kemarahan rakyat untuk mengundi mereka.

Mengenai tuduhan kononnya ada warga asing dari Sabah dan Sarawak masuk ke semenanjung dengan pesawat khas seperti yang didakwa PAS, Wan Ahmad berkata: "Walaupun ada yang muka Pakistan, India, China, Bangladesh, jika mereka menetap lebih 20 tahun, dan memohon untuk mendapat kerayatan, hanya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara yang layak memberi kerakyatan." -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain