suria

Amaran 'Pengundi Senyap' Di Permatang Pauh

Anwar penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Anwar penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Anwar penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

DARJAH kepanasan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih berada pada tahap sederhana termasuk di beberapa kerusi 'panas' membabitkan figura politik berpengaruh.

Jika di utara tanah air, pastinya kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak terlepas sebagai antara yang menjadi tumpuan mengenai percaturan 71,699 pengundi di kawasan itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Parlimen Permatang Pauh yang meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya merupakan kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak pertama kali bertanding pada PRU 1982.

Hampir 31 tahun, pengundi Permatang Pauh memberi kepercayaan penuh kepada Anwar untuk membawa suara mereka di Dewan Rakyat walaupun ketika kerusi itu 'dipinjamkan' kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk tempoh hampir sembilan tahun bermula 1999 hingga 2008.

Bagaimanapun Wan Azizah 'memulangkan' kerusi berkenaan kepada Anwar menerusi pilihan raya kecil 2008.

Ketika itu sekali lagi suara rakyat Permatang Pauh kembali bergema apabila mereka meletakkan harapan kepada Anwar untuk terus berkhidmat di kawasan itu menerusi kemenangan majoriti besar sebanyak 15,671 undi.

Bagaimanapun sehingga sekarang iaitu lebih seminggu tempoh berkempen sebelum tibanya hari pengundian pada 5 Mei ini, suara pengundi Permatang Pauh seakan sukar 'dibaca'.

Tidak seperti kebiasaannya, rata-rata pengundi lebih mengambil sikap berdiam diri seolah-olah tidak mengambil kisah mengenai keadaan sekeliling mereka.

Kesempatan meluangkan masa seharian di sekitar Parlimen Permatang Pauh lebih menimbulkan banyak tanda tanya mengenai sikap pengundi khususnya mengenai arah sokongan mereka.

PRU kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru di Permatang Pauh melibatkan Anwar yang mahu mempertahankan kerusi berkenaan menetang calon Barisan Nasional (BN), Dr Mazlan Ismail dan wakil Bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin.

Antara tiga DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh, Seberang Jaya merupakan kawasan yang dianggap paling maju berdasarkan aktiviti ekonominya.

Pada PRU 2008, BN memenangi satu-satunya DUN dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya menerusi wakilnya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mengalahkan calon PKR.

Komposisi pecahan pengundi Parlimen Permatang Pauh terdiri daripada 70.23 peratus adalah orang Melayu, 23.08 peratus (Cina), 6.27 peratus (India) dan lain-lain kaum sebanyak 0.42 peratus.

Berdasarkan pandangan mata kasar, perang bendera sama ada di pihak BN atau pembangkang, kedua-duanya tidak kurang hebat.

Wujud Penolakan

Namun dipihak pengundi, tidak dapat dinafikan berlakunya penolakan terhadap Anwar walaupun pada skala kecil terutama jika dibangkitkan isu pembangunan di kawasan berkenaan.

Sentimen masyarakat di situ khususnya di kalangan golongan berpendapatan sederhana mula mempersoalkan mengenai sumbangan Anwar untuk pembangunan di kawasan mereka.

Malah ada yang melahirkan rasa kecewa apabila tidak pernah melihat Anwar 'turun padang' menjenguk mereka sejak sekian lama. Kalau ada pun hanya menerusi pentas ceramah politik.

"Makcik tengok Anwar dari jauh saja. Itu pun waktu dia berceramah di sini. Selalu juga makcik dengar ceramah Anwar kalau dia balik sini (Pulau Pinang).

"Tapi kalau nak jumpa Anwar di pasar macam ni tak pernah lah," kata seorang pengunjung Pasar Awam Seberang Jaya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengakui dia sebagai penyokong tegar Anwar, wanita berusia lewat 50an itu bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai calon mana yang akan diundinya pada PRU kali ini.

"Tunggu dulu lah macam mana, makcik tengok calon BN tu pun elok juga. Ada gaya YB (Yang Berhormat) tu," katanya penuh bermakna.

Begitu juga dengan seorang peniaga berbangsa Cina yang sudah lebih 10 tahun menjalankan perniagaan di Seberang Jaya apabila turut melahirkan reaksi senada mengenai sumbangan Anwar.

"Ini kali lah. Tapi ini kali susah sikit kot. Susah mau cakap macam mana. Ini kali mood sudah lain sikit lah," katanya sambil mengajuk slogan 'ini kali lah' yang digunakan pembangkang untuk menukar kerajaan pada pilihan raya kali ini.

Pengundi Senyap

Namun lain pula situasinya di DUN Penanti dan Permatang Pasir.

Kedua-dua kawasan ini dikenali sebagai kubu kuat Anwar sejak dahulu.

PRU 2008 DUN Penanti dan Permatang Pasir masing-masing dimenangi Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS dan Mohammad Fairuz Khairuddin daripada PKR.

Bagaimanapun berlakunya pilihan raya kecil di DUN Penanti selepas Mohammad Fairuz meletakkan jawatan.

Kerusi berkenaan kekal milik PKR apabila Datuk Mansor Othman menang pada PRK di kawasan itu.

Begitu juga di DUN Permatang Pasir, Datuk Salleh Man berjaya mengekalkan penguasaan PAS di situ menerusi pilihan raya kecil selepas kematian penyandangnya pada Julai 2009.

Jika dahulu pengundi di sini lebih bersifat terbuka terutama dalam menyatakan sokongan mereka, bagaimanapun situasinya agak berubah pada ketika ini.

Tidak kelihatan sikap agresif penyokong tegar Anwar menyatakan fahaman politik mereka secara terbuka.

Sebaliknya masing-masing lebih mengambil pendekatan berdiam diri dalam suasana kempen pilihan raya yang sepatutnya 'panas'.

Logiknya, reaksi sebegini mempunyai dua indikasi berbeza iaitu sama ada pengundi sudah lama membuat keputusan mengenai siapa yang akan mereka pilih ataupun masih membuat perkiraan mengenai calon yang sesuai.

Di pihak Anwar sendiri, beliau sepatutnya lebih berhati-hati dengan kumpulan 'pengundi senyap' kerana kadang-kadang keputusan yang bakal mereka buat mungkin memberi kesan kepada masa depan karier politiknya.

Mereka ini mungkin tidak dikategorikan sebagai 'pengundi atas pagar', tapi kertas undi mereka tidak mustahil bakal mencetuskan kejutan.

Malah ada yang berpendapat, pada pilihan raya edisi kali ini, Anwar tidak seharusnya begitu yakin mengenai tahap sokongan terhadapnya lebih-lebih lagi apabila wujud suara sinis yang mengatakan pemimpin kesayangan mereka itu mula lupakan mereka.

Bagi mereka, kempen pilihan raya agak hambar tanpa kehadiran Anwar yang lebih memberi tumpuan di selatan tanah air khususnya di Johor serta tidak ketinggalan di Sabah.

Ketiadaan Anwar meluangkan masa bersama pengundi seperti mana yang dilakukan calon-calon lain sedikit sebanyak akan memberi kesan mengenai reputasinya di kalangan pengundi setianya.

Malah keputusan Anwar sebelum ini yang berkira-kira untuk melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh sedikit-sebanyak turut mengguris perasaan pengundi setianya.

Pengaruh Anwar memang cukup kuat, tapi tidak mustahil calon muka baru BN, Dr Mazlan boleh mencipta kejutan yang tidak disangka-sangka.

Ketika berborak di gerai makanan bersebelahan dengan Masjid Penanti, salah seorang pengunjung di situ melabelkan Mazlan yang merupakan anak kelahiran Kubang Ulu itu sebagai 'giant killer' kepada Anwar.

Namun tidak hairan kerana komen berkenaan keluar daripada mulut jentera BN berdasarkan kemeja-t biru berlogo dacing yang dipakainya. Ia mungkin komen berat sebelah.

Tapi bagi penulis sendiri pada tahap ini, mungkin agak terlalu awal untuk Mazlan diberikan pengiktirafan sebagai 'giant killer'.

Sebaliknya mungkin tidak keterlaluan jika bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu diberi jolokan 'silent killer' sebagai permulaan berdasarkan suhu politik semasa.

Di sana sini terpampang poster Mazlan yang tertera perkataan 'calon paling bersih' yang dipercayai merujuk kepada imej yang dibawanya.

Jadi tidak mustahil kumpulan 'pengundi senyap' di Permatang Pauh juga sedang membuat perbandingan serius mengenai calon yang bakal membawa suara mereka di Dewan Rakyat nanti.

Jika di sesetengah kawasan pilihan raya, 'pengundi atas pagar' dikatakan penentu kemenangan bagi mana-mana calon, tapi di Permatang Pauh, petunjuk jelas bahawa kumpulan 'pengundi senyap' bakal mencipta kejutan.

Ia sepatutnya dilihat sebagai amaran kepada Anwar mahupun Mazlan.

Kepada Anwar, amaran itu seharusnya dipandang serius kerana masa depannya di Permatang Pauh merupakan penentu kepada matlamatnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Namun bagi Mazlan, amaran itu perlu ditafsirkan sebagai kelebihan untuknya terutama dalam mendekati seberapa ramai pengundi di Parlimen Permatang Pauh agar memberi kepercayaan kepadanya untuk tempoh lima tahun lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain