suria

Tindakan Penyokong Pembangkang Pukul Budak 11 Tahun Memalukan - Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Tindakan penyokong parti pembangkang didakwa memukul seorang budak lelaki 11 tahun di Sik kerana menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) adalah perbuatan memalukan dan tidak beradab.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan kanak-kanak dan hak menyokong mana-mana parti adalah hak individu.

"Kalau dia nak sokong parti mana pun, itu hak dia. Kenapa mereka memukul kanak-kanak itu sedangkan dia berkata jujur menyokong Barisan Basional," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini, Jumaat.

Beliau mengulas insiden Mohamad Ismadinel Ar Samsudin yang cedera selepas didakwa dipukul penyokong sebuah parti pembangkang gara-gara mengaku menyokong BN di Felda Teloi Timur, Baling pada kira-kira 9.37 malam Isnin lepas.

Ahmad Bashah yang kesal dengan kejadian itu berkata: "Sepanjang 12 kali pilihan raya umum diadakan, tak pernah ada lagi insiden seperti ini berlaku....kita (BN) juga telah memaklumkan kepada semua jentera kita supaya tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh memburukkan nama parti". -BERNAMA

Artikel Lain