suria

Rakyat Dinasihat Jangan Taksub Hingga Cetus Kekecohan - Abu Zahar

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menasihatkan rakyat agar jangan taksub dan mengikut emosi hingga menimbulkan kekecohan serta menggugat keselamatan awam menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Beliau berkata mereka sebaliknya, perlu rasional dan bijak dalam proses menentukan kerajaan yang akan meneruskan proses demokrasi di negara ini.

"Perlu matang dalam berpolitik, kena tahu tanggungjawab kita. Ini bukan soal peribadi (dan) soal kelompok, tetapi untuk memilih pemerintah yang mahu terus memastikan ekonomi dan keselamatan negara yang dah lebih 50 tahun kita kecapi ini terus stabil," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara setelah dilantik semula untuk penggal kedua di Dewan Negara di sini, Jumaat.

Abu Zahar berkata PRU13 bukanlah medan untuk mengambil kesempatan mencetuskan huru-hara dan kekacauan sebaliknya jika tidak berpuas hati ia boleh diterjemahkan di atas kertas undi.

"Bila polis bertindak jangan salahkan mereka. Mereka jalankan tugas, nak jaga keamanan kita. Ini juga soal imej negara, demokrasi di negara kita dipandang di seluruh dunia," katanya.

Menyentuh mengenai PRU13 yang menyaksikan banyak pertembungan lebih daripada tiga penjuru, Abu Zahar berkata ia membuktikan demokrasi di negara ini berjalan dengan amat baik.

Katanya ia menandakan politik negara ini tidak mengehadkan mana-mana pihak yang mahu bertanding asalkan mengikut syarat dan tidak menyekat pengundi untuk memilih mana-mana calon yang bertanding.

Beliau juga berpendapat sistem demokrasi negara ini berjalan dengan begitu subur dan benar-benar mengikut proses demokrasi sebenar yang telus dan terbuka.

"Sebagai negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan saya melihat peringkat kuasa yang ada itu dilaksanakan dengan begitu licin dan lancar dan sebagai rakyat yang cintakan negara, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia terus berjalan baik, tiada kompromi untuk mereka yang cuba untuk menggugatnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain