suria

PAS Sepatutnya Pertahan Hudud Dalam Manifesto Pakatan Pembangkang - Noh

TANJONG KARANG: PAS sepatutnya bertegas dalam mempertahankan supaya hukum hudud kekal dalam manifesto pakatan pembangkang jika mereka ikhlas memperjuangkannya, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata jika PAS serius memperjuangkan Hudud, mereka perlu tegas memastikan hukum berkenaan tersenarai dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 pakatan pembangkang pada peringkat draf lagi. "Bila hudud tidak ada dalam manifesto, ia seperti PAS tidak dipanggil ketika proses menyediakannya kerana PAS sepatutnya ada bersama dan pastikan hudud ada di dalamnya. "Kita tertanya juga adakah PAS tidak dipanggil, jika PAS tidak dipanggil jelas mereka seperti kuda tunggangan PKR dan DAP, jika mereka dipanggil tetapi tidak menyuarakan mengenai hudud ertinya mereka menikus," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Terdahulu Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dan calon BN bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang menghadiri jamuan tengah hari di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parit 2, Shafie Ahmad sempena siri kempennya menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Ketidaksepakatan berhubung pelaksanaan hukum hudud itu, katanya jelas menunjukkan bahawa pakatan pembangkang juga tidak akan sepakat dalam membuat dasar apatah lagi untuk memerintah negara.

Noh berkata PAS tidak sepatutnya hanya berdebat mengenai isu hudud melalui media kerana ia jelas hanya bersifat politik semata-mata.

Ia berbeza dengan BN yang sentiasa berbincang dalam menentukan sesuatu dasar termasuk dalam merangka manifesto PRU13 yang membabitkan semua parti komponen, katanya. "Apabila kita (parti komponen BN) berbincang baharulah kita keluarkan aku janji dalam memastikan nasib semua rakyat pelbagai agama dan bangsa terbela," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang diberi mandat memerintah negara kelak.

Bagaimanapun kenyataan itu disanggah oleh Pengerusi DAP Karpal Singh yang berkata DAP tetap menentang pembentukan negara Islam yang mengamalkan undang-undang hudud. -BERNAMA

Artikel Lain