suria

Kejadian Lahad Datu Sedarkan Rakyat Perlunya Kerajaan Yang Kuat - Ahmad Zahid

ALOR SETAR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya kejadian pencerobohan di Lahad Datu telah membangkitkan kesedaran baharu dalam kalangan rakyat akan pentingnya mempunyai kerajaan yang kuat.

"Saya fikir selepas peristiwa di Lahad Datu wujud kesedaran baharu dalam kalangan rakyat terutama di Sabah, kalau tidak ada kerajaan yang kuat mereka tidak boleh hidup aman damai," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Justeru katanya beliau yakin sokongan rakyat, terutama di Sabah, terhadap Barisan Nasional (BN) kini semakin teguh.

Menurut Ahmad Zahid, pemerhatiannya juga mendapati rakyat di negeri itu tidak mahu pembangkang terutama selepas kejadian pencerobohan terbabit.

Mengulas peluang BN menawan semula Kedah, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, berkata momentum dalam kalangan rakyat menjanjikan suatu yang positif.

Yang penting sekarang ialah jentera pilihan raya BN terus mempergiatkan usaha menjelaskan kepada rakyat mengenai aku janji BN dan juga program transformasi yang dilaksana kerajaan BN, katanya.

Ahmad Zahid sebelum itu melawat Kolej Tentera Udara Kepala Batas, di sini. -BERNAMA

Artikel Lain