suria

Jabatan Peguam Negara Belum Terima Siasatan Insiden Letupan Di Nibong Tebal

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara belum menerima kertas siasatan mengenai kes letupan bom di majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Selasa lepas yang menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata beliau dimaklumkan polis sedang menyiasat insiden itu termasuk mengesan suspek terbabit.

Kes itu boleh disiasat mengikut Akta Bahan Letupan selain menyebabkan kecederaan, kata pada sidang media di lobi Jabatan Peguam Negara di sini, Khamis.

Pada Selasa, ceramah BN di Nibong Tebal dicemari insiden letupan bom di belakang pentas bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.

Tun Majid juga memberitahu sejak semalam, lima orang telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk didakwa atas pertuduhan berkaitan kesalahan pilihan raya. Mereka masing-masing dituduh atas kesalahan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas, mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dan mendatangkan ketakutan jenayah menggunakan sebilah pisau.

Beliau berkata dua orang lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan di Kunak, Sabah atas kesalahan menakutkan secara jenayah menggunakan pisau dan mendatangkan cedera terhadap mangsa.

Selain itu, 111 kes telah diarahkan untuk siasatan lanjut, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain