suria

Hudud Harus Dilaksanakan

LEBIH ramai pemimpin PAS menyokong pelaksanaan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Mereka menyuarakan sokongan terhadap Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang menegaskan hukum hudud akan dilaksanakan dalam kerajaan Pakatan walaupun DAP menentangnya.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kesanggupan DAP untuk menggunakan lambang PAS (apabila berhadapan dengan pembatalan pendaftaran) membuktikan mereka tidak lagi bimbang mengenai pelaksanaan hudud.

Nik Mohd Amar yang bertanding di kerusi Parlimen Pasir Puteh, berkata adalah menjadi satu kewajipan bagi PAS untuk melaksanakan hudud jika Pakatan mengambil alih Putrajaya.

"Setiap orang harus mengalu-alukan pelaksanaan hudud atas kebebasan mereka sendiri. Namun jika seseorang itu beragama Islam, ia dianggap satu kewajipan untuk menerima hudud," katanya dalam satu temu bual.

"Adalah tidak menjadi masalah jika ada di antara kamu yang tidak mahu menerima hukum hudud, tetapi ingat terdapat satu jalan ke syurga dan satu lagi ke neraka. Anda boleh pilih," katanya.

Isu hudud hangat diperkatakan semula menjelang pilihan raya umum pada 5 Mei ini dengan PAS tetap ingin mengenakan hukuman jenayah mengikut undang-undang Syariah.

Pada Selasa, Dr Haron berkata:"Saya yakin DAP akan menerima hudud kerana kesanggupan mereka bertanding menggunakan lambang PAS.

Selepas itu barulah kami boleh meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan hukum hudud," katanya.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata bantahan DAP tidak menjadi masalah kerana ia akan bergantung kepada Parlimen yang baru untuk memutuskan mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Namun, Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chaw berkata pemimpin parti itu tidak harus bercakap mengenai hudud pada ketika ini.

"Sekarang bukan masa untuk membincangkan hukum hudud. Kita boleh bercakap mengenainya pada waktu lain, bukan ketika pilihan raya," kata Hu.

Hu merupakan calon PAS di kerusi Parlimen Air Hitam di Johor.

Beliau akan berdepan pertemuan satu lawan satu menentang Ketua Pemuda MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

"PAS dan sekutunya harus bercakap mengenai keinginan mereka untuk Malaysia yang baru," katanya.

Di Petaling Jaya, beberapa pemerhati mengambil kira kesan serius akibat pelaksanaan hudud dengan merujuk kepada kes apabila undang-undang Islam dikenakan ke atas orang bukan Islam di Kelantan.

Artikel Lain