suria

Hindari Politik Keganasan & Perkauman - Pengerusi SPR

KLANG: Politik keganasan dan perkauman bukan budaya rakyat Malaysia yang sayangkan keamanan dan keharmonian kaum, justeru politik bercorak itu perlu dihindari ketika berkempen dalam pilihan raya di negara ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau turut menasihatkan anggota parti politik supaya berkempen secara berhemah dengan membentangkan dasar mereka dengan jelas supaya maklumat itu akan membolehkan rakyat memilih siapa yang terbaik memerintah negara, dan tidak sekali-kali menggunakan perasaan yang mengundang kejadian yang tidak diingini.

"Jangan berkempen ikut sesuka hati, kita ada undang-undang dan peraturan yang perlu kita patuhi. Pilihan raya umum ini bukan sekali seumur hidup maka tidak perlu kita terlampau ekstrem, menang atau kalah biar pengundi yang tentukan. SPR akan terus melakukan pemantauan dengan pasukan kita bagi pastikan tiada perkara negatif berlaku ketika kempen. "Setakat ini apa terjadi tidaklah terlalu serius, tetapi saya bimbang perkara yang tidak terlalu serius ini menular dan berlanjutan sehingga mencetuskan kejadian besar yang mengancam keselamatan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat penjumlahan undi di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, Jumaat.

Sehingga hari ketujuh berkempen hari ini pelbagai kejadian tidak dingini telah berlaku seperti perbuatan membakar poster dan membaling 'molotov cocktail' di pejabat parti. Paling buruk kejadian letupan pada ceramah Barisan Nasional (BN) di Nibong Tebal pada Selasa lepas. Politik perkauman turut dimainkan pihak yang tidak bertanggungjawab seperti serangan peribadi ke atas calon BN Datuk Zulkifli Noordin yang bertanding di kawasan Parlimen Shah Alam.

Abdul Aziz percaya polis berupaya memastikan politik keganasan tidak akan berleluasa terutamanya pada hari mengundi 5 Mei ini.

Pada masa yang sama Pengerusi SPR itu menasihatkan pihak yang tidak bertanggungjawab supaya melupakan hasrat untuk menimbulkan kekecohan pada hari berkenaan.

Mengulas dakwaan ada parti politik kononnya telah mula membawa masuk 'pengundi hantu' dari luar negara, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat tentang perkara itu tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Jangan menilai orang menerusi rupa wajah semata-mata... rupa macam warga asing dah buat persepsi bukan rakyat Malaysia dan dakwa pengundi hantu. Ini tidak betul kerana kita masyarakat berbilang bangsa, ada warga asing yang dapat kewarganegaraan mengikut undang-undang negara kita.

"Apapun SPR tidak akan berkompromi terhadap tindakan menyamar sebagai pengundi ini, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terlibat berdasarkan undang-undang negara kita," kata Abdul Aziz.

Ditanya sama ada pencalonan seseorang individu terbatal jika pencadang atau penyokongnya seorang muflis, beliau berkata hanya individu yang diisytihar muflis yang tidak boleh dicalonkan dan peraturan itu tidak melibatkan penyokong atau pencadangnya.

Beliau turut menasihatkan petugas SPR pada pilihan raya kali ini supaya tidak gentar dan tidak bersikap memihak kepada parti politik tertentu agar pilihan raya kali ini dapat berjalan lancar dan adil untuk seluruh rakyat Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain