suria

Edar Dadah: Bekas Pekerja Syarikat Perabot Dijatuhi Hukuman Mati

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja syarikat perabot dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengedar kira-kira 9.88 kilogram heroin di lot tempat letak kereta di sebuah hotel lima bintang di sini enam tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah, dalam keputusannya berkata Low Thiam Teck gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Low, 42, dan dua lagi pada awalnya dibebaskan di akhir kes pendakwaan tetapi diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan selepas pihak pendakwaan berjaya dalam rayuannya.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang hukuman terhadap dua lagi, Tin Kee Cheong, 36, dan Lum Mun Seng, 50, berikutan polis gagal mengesan mereka.

Low dituduh mengedar dadah itu di tempat letak kereta Hotel Mandarin Oriental, Jalan Pinang, di sini pada kira-kira 8.10 malam, 14 Mei 2007.

Low diwakili peguam Affifudin Afifi, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Monica Linsua. - BERNAMA

Artikel Lain