suria

BR1M Tepat Dengan Teori Ekonomi - PM

BAGAN SERAI: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat adalah bertepatan dengan teori ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M bukan sahaja menguntungkan rakyat tetapi turut membantu dalam perkembangan ekonomi negara.

"Bila kita dapat BR1M bukan kita sahaja yang untung tapi pekedai-pekedai, peniaga-peniaga di Pasar Tani dan pasar minggu juga untung.

"Ekonomi kita berkembang atau 'orang putih' kata 'domestic demand'. Teori kita tepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Rakyat 1Malaysia, dekat sini, Jumaat.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta calon-calon BN bagi Parlimen Bagan Serai dan Parlimen Parit Buntar serta calon-calon Dewan Undangan Negeri di bawahnya.

Perdana menteri berkata dari segi ekonomi, Malaysia pada hari ini diyakini dunia dan dilihat seperti bintang yang bersinar.

Katanya, perkara ini diakui Ketua Eksekutif Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde.

"Saya berjumpa dengan beliau akhir tahun sudah dan beliau beritahu Malaysia satu-satunya negara di dunia di mana unjuran perkembangan ekonominya terpaksa dikaji semula oleh IMF dan dinaikkan daripada unjuran asal,"katanya.

Najib berkata kekuatan Malaysia dari segi pengurusan kewangan juga menyebabkan negara tidak perlu meminjam daripada IMF.

Ini katanya berbeza dengan janji manis pembangkang yang jika ditunaikan akan menyebabkan negara perlu membuat pinjaman IMF.

"Malaysia tak perlukan pinjaman IMF. Kita ada kekuatan tersendiri sebab kita tahu urus ekonomi.

"Kita sudah buat perkiraan tahun pertama kalau kita tunaikan semua janji mereka (pembangkang) negara akan terpaksa pinjam duit dari akaun semasa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai BR1M Najib berkata ia akan diteruskan untuk kepentingan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Jelasnya dari segi ekonomi pemberian BR1M juga dilihat lebih baik daripada janji pembangkang untuk menurunkan harga minyak.

Artikel Lain