suria

Undang-Undang Islam Sentiasa Jadi Agenda PAS

KUALA LUMPUR: Isu hukum hudud kembali menghantui Pakatan Rakyat.

Sehari selepas Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mendakwa hukum hudud akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat memerintah negara, beberapa pemimpin PAS berkata undang-undang Islam sentiasa menjadi agenda parti itu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata hukum hudud hanya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sekiranya Pakatan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Kami telah merancang untuk melaksanakan hukum hudud sejak lebih 50 tahun lalu," katanya kepada The Malaysian Times.

Beliau berkata hukum hudud tidak boleh dilaksanakan sekali gus.

"Ia akan dilaksanakan secara berperingkat...undang-undang itu akan dijelaskan kepada orang ramai untuk mengelakkan berlaku salah faham.

"Ia akan dilakukan berdasarkan kertas kerja yang telah kami sediakan dan kajian turut telah dijalankan," katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, melaksanakan hukum hudud sentiasa menjadi misi parti ini.

"Parti itu sentiasa mengenai pelaksanaan hukum hudud. Kami tidak pernah mengubah pendirian kami untuk melaksanakannya.

"Melaksanakan undang-undang itu dibenarkan dalam Islam. Jika Pakatan mengambil alih kerajaan Persekutuan, saya tidak melihat mengapa ia tidak boleh dilaksanakan.

"Kerajaan baru di bawah Pakatan akan menyaksikan impian ini menjadi kenyataan," katanya.

Pada Selasa, Dr Haron dipetik sebagai berkata hukum hudud akan dilaksanakan sekiranya Pakatan mengambil alih kerajaan Persekutuan walaupun sekutunya, DAP membantah keputusan tersebut.

Pemimpin-pemimpin PAS tetap dengan pendirian mereka untuk melaksanakan undang-undang syariah termasuk hukum hudud.

Mereka berkata pelaksanaan undang-undang syariah adalah kewajipan agama.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Alor Setar berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pelaksanaan undang-undang syariah hanya akan dilaksanakan melalui proses demokrasi.

Artikel Lain