suria

Tidak Sepakat Soal Hudud Bukti Pakatan Pembangkang Gagal

KLANG: Ketidaksepakatan dan perbalahan di kalangan parti-parti gabungan pembangkang berhubung soal pelaksanaan hukum hudud, jelas membuktikan kegagalan gabungan itu untuk sepakat dalam soal mentadbir sebuah kerajaan.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan berkata isu itu memberi peluang terbaik kepada rakyat untuk melihat dan menilai kegagalan mereka dan membantu mereka membuat keputusan menolak pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mohan, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas, berkata pendirian dan ideologi berbeza antara mereka jelas membuktikkan bahawa mereka tidak mampu untuk mentadbir negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.

"Ideologi mereka berbeza, tak boleh sepakat. Sejak lima tahun ini mereka asyik bergaduh, tak setuju itu, tak setuju ini, sesama mereka. Kalau dalam isu ini pun (hudud) mereka tak boleh bersatu, tak boleh berpendirian teguh, macam mana boleh tadbir negara ini?.

"Kita di BN (Barisan Nasional) sentiasa bersatu, ikut kata pemimpin tertinggi (Perdana Menteri). Tetapi dalam PR, masing-masing anggap diri mereka sebagai kepala utama," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Kataya dalam BN, masalah seumpama itu tidak timbul kerana segala keputusan diambil secara bersama, dengan mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan dan keharmonian rakyat negara ini.

Perbalahan tentang hudud antara para pemimpin parti pembangkang menjadi hangat kebelakangan ini apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum itu khusus untuk orang Islam di negara ini, jika pembangkang menguasai Putrajaya.

Sebaliknya Pengerusi DAP Karpal Singh menyifatkan hasrat PAS itu tidak munasabah dan boleh menimbulkan krisis perundangan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR berkata pelaksanaan hukum hudud di Malaysia bukan satu kemestian dan tidak boleh dilaksanakan selagi tidak mendapat persetujuan semua pihak. -BERNAMA

Artikel Lain