suria

Shahrizat Kecam Insiden Letupan, Sifatkan Sebagai 'Dayus'

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengecam insiden letupan di ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang Selasa lepas dan menyifatkan mereka yang melakukannya sebagai 'dayus'.

Sambil melahirkan kekesalan terhadap kejadian yang dianggap mencemarkan perjalanan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), beliau menegaskan keganasan tidak seharusnya menjadi amalan mana-mana parti bertanding ketika berkempen.

"Hanya mereka yang dayus sahaja mempraktiskan taktik keganasan untuk takutkan dan lemahkan jentera terutama jentera wanita dan calon...saya anggap siapa pun yang melakukan jenayah ini sebagai ketandusan idea berkempen dan takut pada kekalahan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Parlimen Segambut bersama calon BN untuk kerusi itu B.Jayanthi Devi di sini, Khamis.

Pada Selasa, ceramah anjuran Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal dicemari insiden letupan di belakang pentas bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.

Kejadian itu menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan.

Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejadian letupan di Nibong Tebal dan kebakaran akibat bom petrol di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor bukan budaya negara ini dan tidak boleh menjadi budaya masa hadapan.

"Rakyat perlu menilai kewibawaan calon berdasarkan kempen yang sihat serta meneliti manifesto yang dibawa dan membuat keputusan mengikut rasional mereka (rakyat) sendiri kerana hak mengundi adalah hak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya semua pihak perlu membuktikan kematangan dan berkelakuan rasional semasa berkempen untuk meyakinkan rakyat supaya mereka (rakyat) dapat membuat pilihan yang bijak tanpa berasa takut untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

"Ini adalah penting untuk mencapai matlamat pilihan raya di mana wakil rakyat dipilih dengan bijaksana dalam suasana yang kondusif, aman dan tenteram melalui peti undi," katanya.

Justeru, katanya yayasan itu menolak sebarang pendekatan bercorak keganasan yang menggugat keselamatan dan keharmonian negara serta membantutkan proses PRU-13.

Lee juga menasihatkan semua pihak supaya membudayakan politik sihat dengan menjauhi pendekatan provokasi dan hasut menghasuti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Semalam, bahagian depan bangunan Bilik Gerakan BN di Parit 9, Baroh, Sungai Leman, Sekinchan terbakar setelah dipercayai dilempar dengan dua bom petrol oleh orang tidak dikenali.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengutuk dan menolak segala bentuk keganasan sama ada secara fizikal atau lisan sepanjang kempen PRU-13.

Sambil mengingatkan semua parti politik termasuk parti pembangkang supaya berkempen secara sihat dan rasional, beliau berkata insiden letupan itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. "Kita masih boleh bertanding, bersaing dan berdebat tetapi jangan menggunakan keganasan dalam apa bentuk sekalipun.

"Saya percaya bahawa sikap keterlaluan yang telah disaksikan baru-baru ini berpunca daripada keterlaluan berkempen khasnya di ruang media sosial di mana begitu banyak keganasan secara lisan yang mencerminkan perasaan benci dan cuba memburukkan secara perseorangan," katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini.

Mengulas lanjut, Koh berkata dalam keghairahan meraih undi dan sokongan rakyat dalam tempoh berkempen setiap parti perlu menerapkan nilai-nilai murni yang sememangnya menjadi asas dalam perjuangan parti masing-masing. Semua parti yang berkempen perlu berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara antaranya kesopanan dan ketatasusilaan selain pemantauan rapi perlu kerap dijalankan bagi memastikan keselamatan rakyat dan keharmonian negara terjamin, katanya.

Di PULAU PINANG, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengecam pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan mengingatkan mereka supaya tidak cuba membawa "Arab Spring" ke Malaysia kerana Malaysia mempunyai acuan politiknya yang tersendiri. "Kita tidak mahu diugut dengan bom, kita tidak mahu demokrasi diganggu-gugat. Kalau mahu kerajaan yang dipilih rakyat secara bersih, lakukan kempen dengan cara bersih. "Jangan takut-takutkan calon lawan apabila sokongan rakyat beralih kepada kerajaan yang lebih kuat," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di George Town. Di BUTTERWORTH, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap polis meningkatkan tahap keselamatan di semua kawasan terutamanya di lokasi panas bagi mengelak insiden seumpama itu berulang.

Pemantauan berterusan oleh polis bukan sahaja mewujudkan suasana selamat di kalangan petugas pilihan raya dan calon yang bertanding, malah orang ramai juga tidak bimbang untuk menghadiri ceramah politik, katanya kepada pemberita di sini. "Kita tidak boleh pandang ringan perkara seperti itu. Ia perkara serius yang boleh membawa terjadinya sesuatu yang lebih buruk. "BN juga perlu tingkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat ceramah supaya perkara seperti itu tidak berulang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain