suria

Penyandang Kerusi DUN Kuala Nerang Tak Dicalon Semula Bantu Kempen Calon Baru

KUALA NERANG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang tidak dicalonkan semula bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, menunjukkan sikap terbuka beliau apabila turut sama membantu kempen calon baharu kerusi tersebut.

Syed Sobri berkata walaupun tidak dicalonkan semula, beliau tidak kecewa sebaliknya memberi sokongan padu kepada calon muka baharu Badrol Hisham Hashim. Beliau turun padang bersama Badrol Hisham yang juga Ketua Pemuda Umno negeri berkempen bagi mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Katanya fokus utamanya adalah mahu memenangkan BN di DUN itu selain merampas semula kerusi Parlimen Padang Terap yang dikuasai PAS dan mengambil semula kerajaan negeri daripada pakatan pembangkang itu. "Kita nak pastikan BN boleh tubuh kerajaan di negeri ini semula. Kita dah nampak gelombang itu. Semua anggota dan penyokong Umno bersatu hati dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. "Saya pun turun berjumpa dengan rakyat dengan beri ceramah kepada mereka. Saya minta mereka beri undi kepada BN dan sokong calon yang dipilih oleh pucuk tertinggi BN," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini Khamis.

Sementara itu, calon BN DUN Pedu Kama Noriah Ibrahim berkata sebagai calon muka baharu, penerimaan masyarakat terhadapnya amat positif dan kerja kuat yang ditunjukkan oleh pengundi muda amat memberangsangkan.

Beliau berkata walaupun kawasan itu kubu kuat BN, beliau akan terus memberi komitmen berterusan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan untuk masyarakat kawasan itu.

"Saya akan bagi tumpuan kepada pembangunan pendidikan kerana dengan pendidikan akan membawa kesan ekonomi yang baik kepada masyarakat kawasan itu," katanya.

Pada PRU13, kerusi DUN Kuala Nerang menyaksikan Badrol Hisham bersaing dengan Syed Ibrahim Syed Omar dari PAS dan Ahmad Mad Daud dari Bebas manakala di DUN Pedu Kama Noriah akan dicabar oleh Zamri Yusuf dari PKR.

Bagi kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan menentang penyandang Mohd Nasir Zakaria dari PAS dan Muhamad Bazli Abdullah (Bebas). -BERNAMA

Artikel Lain