suria

Pembangkang Rancang Demonstrasi, Jika BN Menang PRU-13 - Idris Haron

MELAKA: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Haron berkata pihaknya mengesan terdapat usaha pembangkang yang merayu dan melobi rakyat untuk menyertai demonstrasi sekiranya pakatan pembangkang tewas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Katanya, perbuatan itu dibimbangi akan mencetuskan huru-hara sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi PRU13. "Ini berdasarkan pelbagai taktik kotor yang telah dilakukan mereka ketika tempoh berkempen. Antara slogan mereka jika gagal berkuasa melalui pilihan raya ialah mereka akan berkuasa melalui demonstrasi jalanan," katanya kepada pemberita selepas Program Sahabat Media Sosial Melaka di sini, Khamis.

Beliau berkata tindakan itu jelas menunjukkan pembangkang berada dalam keadaan tertekan untuk mentadbir negara sehingga sanggup merancang mengadakan perkara di luar norma.

Katanya ia juga menunjukkan pembangkang seolah-olah tidak mengiktiraf peranan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menjalankan proses pilihan raya dengan adil melalui sistem demokrasi di negara ini.

Sehubungan itu, Idris yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menggesa rakyat agar bijak membuat penilaian dalam menentukan pemimpin negara. -BERNAMA

Artikel Lain