suria

PAS Kesal Bahan Kempen Unsur Fitnah Diedar Di IPT Perak

IPOH: PAS menyatakan kekesalannya terhadap tindakan pihak bertanggungjawab mengedarkan bahan-bahan kempen berunsur fitnah di semua institut pengajian tinggi (IPT) di negeri Perak.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Perak, Salman Saleh berkata edaran bahan kempen berunsur fitnah dan mempunyai maklumat tidak sahih tidak wajar dilakukan, sebaliknya kempen perlu dilakukan secara sihat.

"Kami telah menerima banyak aduan daripada pelajar, pensyarah dan staf IPT berhubung pengedaran bahan kempen yang didakwa dilakukan secara bebas dan meluas di dalam kampus.

"Apa yang dikesali bahan-bahan yang dimasukkan merupakan bahan-bahan yang merupakan hasutan kepada rakyat dan pelajar," katanya pada sidang media di pejabat PAS negeri, di sini, Khamis.

Menurut Salman, bahan-bahan kempen berbentuk akhbar berkenaan dikenal pasti mula diedarkan sejak dua hari lalu.

Dalam hal ini, beliau turut mempertikaikan pihak pentadbiran IPT yang membenarkan pengedaran dibuat secara bebas.

Mengulas lanjut Salman berkata, dalam tempoh berkempen yang masih berbaki 10 hari lagi, kempen perlu dilakukan secara 'gentleman'.

Katanya, perbuatan memfitnah akan meninggalkan kesan tidak baik kepada negara dan seharusnya pihak lawan berkempen dengan mempromosikan parti dan calon.

"Sepatutnya imej dan pendekatan lebih segar digunakan contohnya mempromosikan manifesto negeri Perak, promosi calon...itu cara berkempen yang lebih baik," katanya.

Beliau menambah, pihaknya sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam perkara ini.

"Maklumat dan berita ini merupakan bahan yang tidak sahih dan boleh ragui.

"Peguam kita sedang menyemak unsur atau kandungannya dan tindakan lanut akan dibuat selepas kajian dibuat," katanya.

Artikel Lain