suria

Othman Abdul Yakin Masih Ada Pengaruh di Pendang

PENDANG: Datuk Othman Abdul, anggota Parlimen Pendang tiga penggal selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) 1986, 1990 dan 1995, yakin beliau masih berpengaruh di Pendang.

Sepanjang menjadi wakil rakyat Pendang, Othman membawa pelbagai projek pembangunan ke Pendang termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)Pendang ketika beliau menjadi Pengerusi Mara dari 1995 hingga 1998.

Malah beliau juga bertanggungjawab terhadap pembinaan bangunan baharu sebuah sekolah agama milik parti pembangkang bernilai RM2 juta dengan bantuan kerajaan pusat, selain sebuah masjid di Kampung Jelutong, Tobiar serta turut menyumbang pelbagai bahan ilmu agama di -masjid dalam Parlimen Pendang.

Bagaimanapun, pada PRU 1999 beliau tewas kepada Presiden PAS Datuk Fadzil Noor tetapi kembali memenanginya semula pada pilihan raya kecil 2002 ekoran kematian Fadzil.

Pada PRU 2004 dan 2008, Othman tidak bertanding dan PAS memenangi kawasan itu menerusi Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Kini, pada PRU13, Othman, 56, kembali bertanding kerusi itu menentang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang mencari 'tapak' baharu setelah kalah pada PRU 2004 bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah dan 2008 di Kuala Terengganu. Othman berkata sejak tidak diwakili BN, tiada langsung pembangunan untuk rakyat di daerah Pendang.

"Saya juga berusaha untuk dapatkan bantuan membina sebuah lagi bangunan sekolah agama pembangkang. Saya buat ini untuk rakyat mendapat pendidikan sempurna dan tak mengambil kira ideologi politik," katanya.

Selain itu, selepas menang pilihan raya kecil 2002, beliau berjaya meyakinkan kerajaan pusat untuk membina susur masuk ke Pendang dari Lebuhraya Utara Selatan.

Kini, perkara yang beliau ingin usahakan sekiranya terpilih sekali lagi adalah pembinaan sebuah hospital yang sangat-sangat diperlukan masyarakat Pendang.

Othman berkata hospital yang diidamkan rakyat kawasan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan tiada hubungan antara kerajaan negeri pimpinan PAS dan kerajaan persekutuan.

Walaupun tidak bergelar Yang Berhormat, Othman masih setia dengan Umno dan masih berkhidmat di peringkat akar umbi.

Beliau tetap meneruskan tradisinya dengan berjumpa dengan masyarakat dan mengambil berat mengenai masalah mereka.

Hubungan akrab dengan pelbagai lapisan masyarakat - Melayu, Cina dan Siam - terus terjalin walaupun sudah hampir 10 tahun tidak menjadi wakil rakyat masyarakat kawasan itu.

Othman berkata sebagai anak tempatan yang dicalonkan semula untuk menentang calon PAS adalah penting untuk beliau memenangi semula Parlimen Pendang yang ditawan PAS sejak 2004.

"Sepanjang 10 tahun Dr Hayati jadi wakil rakyat apa projek dah beliau buat untuk rakyat? Kalau boleh mereka (PAS) tunjuk satu projek yang nilainya lebih RM20,000," katanya.

Parlimen Pendang mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tokai dengan calon BN Najmudin Darus menentang penyandang kerusi itu Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (PAS) dan DUN Sungai Tiang pula menyaksikan persaingan empat penjuru apabila penyandangnya Datuk Suraya Yaacob (BN) dicabar Rosli Omar (Bebas), Fadhil Baharum (PAS) dan Chearean Isen daripada Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

-BERNAMA

Artikel Lain