suria

Kerajaan BN Tidak Berdolak-Dalik Hal Agama - Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berdolak-dalik dalam soal agama atau mengorbankan prinsip Islam semata-semata untuk mendapatkan 'mileage' politik.

Perdana menteri berkata kerajaan BN akan terus mempertahan prinsip-prinsip Islam termasuk mengenai penggunaan kalimah Allah walaupun ada pihak yang mempertikai tindakan yang dilakukan itu.

"Itulah sebabnya kita sentiasa mengekalkan pendirian kita mengenai penggunaan perkataan Allah (semata-mata untuk umat Islam)...kebenaran tetap kebenaran.

"Kita sentiasa mempertahan (penggunaan) kalimah Allah kerana kita percaya tindakan kita betul yang akhirnya Allah akan bantu kerana kita di pihak yang benar," katanya ketika merasmikan Wacana Pembangunan Ummah peringkat negeri Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini Khamis.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Imam Besar Masjid An-Nabawi Madinah As-Shaikh Solah Mohammed al-Budair dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Najib menegaskan kerajaan BN akan terus mempertahan prinsip-prinsip Islam termasuk berhubung kalimah Allah selain kaedah menangani insiden pencerobohan militan warga asing di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, kerana tindakan yang dilakukan kerajaan itu betul.

Merujuk insiden pencerobohan di Lahad Datu, Perdana Menteri berkata: "Kita guna pendekatan penyelesaian secara damai tetapi apabila mereka 'gigit tangan kita' (serang), saya arahkan serang habis-habisan untuk pertahan kedaulatan negara, dan ini dibenarkan Islam".

Dalam pada itu, beliau mempersoal tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeksploitasi isu-isu berkenaan demi kepentingan politik mereka.

"Kita sebenarnya tidak boleh mengorbankan prinsip-prinsip agama hanya kerana kepentingan politik," jelasnya.

Beliau berkata adalah sesuatu yang salah untuk mengorbankan prinsip Islam semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik.

Dalam pada itu, Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata parti itu akan terus menjamin masa depan sekolah agama dan menyediakan skim lebih baik kepada pihak yang menyebarkan syiar Islam.

Beliau menarik perhatian di bawah kerajaan BN, sekolah agama menerima pelbagai bantuan manakala imam, bilal dan guru agama memperoleh pendapatan lebih baik.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat tentang peranan imam, guru takmir dan Kafa (Kelas Al Quran dan Fardu Ain) kerana kita sedar tugas dakwah bukanlah perkara mudah," katanya.

Mengambil contoh peranan besar imam dalam memartabatkan Islam, Najib berkata kerajaan telah menaikkan kadar imbuhan bulanan imam kepada RM750 sebulan dan bayaran itu selari dengan pertambahan tugas mereka yang semakin mencabar sebagai ejen penggerak utama masyarakat di peringkat akar umbi.

"Kita beraku janji untuk menjaga kebajikan para imam, pegawai masjid dan guru Kafa dengan menyediakan gaji berasaskan perkhidmatan dan kenaikan gaji. Kami juga akan meningkatkan jumlah biasiswa untuk pelajar-pelajar sekolah agama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain