suria

Jurujual Diacu Golok Ketika Berkempen Di Besut

KUALA TERENGGANU: Seorang jurujual diugut dan diacu golok di Kampung Pengkalan Sentul Besut semalam ketika sedang mengiringi anggota sebuah parti berkempen dan merayu undi.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa bersama dua lagi rakannya menunggang motosikal untuk mengiringi sebuah kereta yang dinaiki tiga perayu undi untuk berkempen di kampung itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata ketika sampai di kampung itu, motosikal mangsa dihalang dua lelaki yang merupakan penyokong parti lawan.

Beliau memberitahu pemberita di sini Khamis, seorang daripada suspek tidak membenarkan mereka memasuki kampung berkenaan untuk berkempen sebelum bertindak menarik leher baju mangsa dan mengacukan sebilah golok pada lehernya.

"Ketika kejadian mangsa yang berusia 21 tahun itu ditugaskan untuk menjaga keselamatan tiga perayu undi tersebut namun lelaki berkenaan mengugut supaya mereka tidak menjalankan kempen di kawasan kampung mereka. "Takut dengan kejadian itu mangsa berpatah balik dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut," katanya. Manoharan berkata seorang daripada suspek berusia 45 tahun yang berasal dari Kampung Pengkalan Sentul menyerah diri di Balai Polis Besut kira-kira 12.30 tengah hari.

Sejam kemudian suspek kedua berusia 59 tahun dan berasal dari Kampung Padang Buluh Besut turut menyerah diri di balai yang sama dan polis juga berjaya merampas senjata yang digunakan untuk mengugut mangsa ketika kejadian. -BERNAMA

Artikel Lain