suria

Jui Meng Lega Anwar Akhirnya Tiba di Segamat

SEGAMAT: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng lega apabila Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjejakkan kaki ke perkarangan padang ceramah ketika hanya tinggal 15 minit sahaja lagi ceramah akan berakhir malam Rabu.

Jui Meng mengakui kehadiran Anwar pada ceramah itu adalah sangat penting dalam mempengaruhi keyakinan rakyat untuk memberi undi kepadanya sebagai calon Parlimen Segamat pada pilihan raya ini.

"Saya sudah beritahu Anwar kehadirannya sangat penting untuk ceramah ini kerana kalau dia tidak datang memang habislah saya kerana pada ceramah lepas di Taman Yayasan separuh daripada ribuan penonton tinggalkan saya selepas dapat tahu Anwar tidak dapat hadir.

"Ketika itu saya juga dapat tahu melalui SMS ketika mahu naik berucap bahawa Anwar masih lagi dalam mesyuarat penting bersama Hadi Awang dan Lim Kit Siang dan tidak dapat datang walaupun sepatutnya jadual beliau berada di sini," ujarnya sebelum memulakan ceramah bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), di Padang Lai Chi, dekat sini.

Anwar pada 16 April lalu diuar-uarkan melalui beberapa poster diseluruh Segamat untuk mengadakan ceramah di dua kawasan iaitu di Taman Tahang Rimau, Sekijang dan Taman Yayasan namun tidak dapat hadir pada saat-saat akhir.

Perkara tersebut membuatkan orang ramai yang menunggu kedatangannya hampa dan bangun meninggalkan ceramah tersebut ketika Jui Meng baru sahaja memulakan ucapan.

Dalam pada itu, Jui Meng turut memberitahu perkembangan setelah lima hari berkempen dan bertemu masyarakat di sini peratus keyakinan untuk merampas kerusi yang disandang oleh Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam daripada Barisan Nasional (BN) semakin cerah.

"Dulu keyakinan saya 45 peratus tapi sekarang sudah lebih," katanya.

Sementara itu, Anwar yang memulakan ceramah kira-kira pukul 11.45 malam berharap masyarakat Segamat memberi peluang dan sokongan kepada Jui Meng dan calon-calon PR yang bertanding di daerah ini.

Anwar yang juga calon Parlimen Permatang Pauh dalam ceramah itu juga mengakui terpaksa mengabaikan kawasannya dalam usaha memberi sokongan dan membantu kempen PR di seluruh negara.

"Pada awalnya kita ingin meletakkan Jui Meng di Gelang Patah dan beliau sudah buat persiapan dan bekerja keras di sini namun selepas keputusan meletakkan Kit Siang di sana dia terpaksa akur dan rela hati untuk bertanding di sini. Saya harap orang Segamat menerima beliau untuk bawa perubahan di sini," ujarnya.

Artikel Lain