suria

Jabatan Peguam Negara Belum Terima Kertas Siasatan Berhubung Kematian Jurukamera Sambilan RTM

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara belum menerima kertas siasatan daripada polis berhubung kematian jurukamera sambilan RTM di Gua Musang, Kelantan awal pagi Selasa.

Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Abdul Wahab Mohamed berkata kes itu masih dalam siasatan polis.

"Jadi kita tidak dapat memberi apa-apa komen atau ulasan berkaitan kes," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Jurukamera sambilan RTM Kelantan itu, Mohamed Yaakub, 61, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang, akibat serangan jantung.

Beliau sebelum itu dikatakan terlibat dalam pergaduhan dengan seorang penyokong parti politik, berikutan kereta penyokong itu menghalang laluan ke rumahnya.

Sementara itu Abdul Wahab berkata dua orang lagi akan dihadapkan ke mahkamah pada Khamis untuk menghadapi pertuduhan berkaitan pilihan raya.

Beliau berkata satu kes melibatkan seorang lelaki Melayu di Kuala Terengganu, Terengganu yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk muka pengadu.

Satu lagi kes turut melibatkan seorang lelaki Melayu di Changkat Jering, Perak, yang didakwa melakukan kesalahan khianat dengan merosakkan bendera parti politik mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Abdul Wahab berkata sehingga kini jumlah kes yang diarahkan untuk siasatan lanjut adalah 44 kes, dengan kes tertinggi melibatkan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu ceramah yang tidak mendapat permit, sebanyak 35 kes.

Beliau berkata kes lain adalah khianat (13 kes), menyebabkan kecederaan (3 kes), menyebabkan cedera parah (1 kes), fitnah (2 kes) dan mengedarkan risalah parti di premis kerajaan (1 kes).-BERNAMA

Artikel Lain