suria

Isu Kalimah Allah: Mahkamah Tetapkan 30 Mei Sebagai Pengurusan Kes

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Mei sebagai pengurusan kes berhubung rayuan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah 'Allah'.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan N.Priscilla Hemamalini menetapkan tarikh itu dalam kamar bagi membolehkan kerajaan dan KDN memfailkan afidavit jawapan terhadap afidavit lanjutan yang difail pihak gereja.

Beliau menetapkan 8 Mei bagi mahkamah berkenaan mendengar rayuan tujuh pihak terdiri daripada enam Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mencelah dalam semakan kehakiman pihak gereja.

Majlis Agama Islam terbabit ialah dari Terengganu, Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

Peguam S.Selvarajah mewakili pihak gereja manakala kerajaan dan KDN diwakili Peguam Kanan Persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari, Andi Razalijaya A.Dadi dan Munahyza Mustafa. Peguam Halim Bahari mewakili Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia manakala Majlis Agama Islam Negeri Terengganu oleh peguam Norsyazwan Rosli.

Pada 31 Disember 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan mengisytiharkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan Herald dalam Bahasa Malaysia itu, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak, menggunakan kalimah Allah, sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Feb 2010, Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman dan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden.

Antara lain, beliau memohon satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Jan 2009, yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh Herald, sebagai tidak sah dan batal serta kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk 'God' dalam seksyen Bahasa Melayu, namun KDN dan kerajaan mewajarkan larangan penggunaan atas alasan keselamatan negara selain mengelak salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam. -BERNAMA

Artikel Lain