suria

Iskandar Malaysia Untuk Faedah Rakyat Johor

SEGAMAT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak tohmahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa pembangunan Iskandar Malaysia di negeri Johor tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat negeri itu.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri itu berkata, projek dan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor dalam pelbagai sektor dan memberi faedah kepada rakyat di negeri itu secara langsung dan tidak langsung.

"Itu tidak betul, pembangunan Iskandar bertujuan untuk pembangunan Johor dan rakyat mendapat faedah bersama dengan pembangunan itu juga dapat menarik pelabur dalam dan luar negara ke Johor.

"Kita tidak buat sesuatu untuk tujuan lain kecuali untuk kemajuan Johor dan jika dilihat nilai hartanah di situ meningkat tinggi, apakah dia tidak nampak dan tidak faham,?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan 1Malaysia Support For Housewives dan Karnival Azam Kerja 1Malaysia di Dataran Segamat, dekat sini, Khamis.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S.Subramaniam, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.

Beliau berkata dengan pembangunan tersebut kerajaan mahu lebih ramai rakyat negeri itu mengambil bahagian.

"Kita mahu lebih ramai ambil bahagian, kalau orang Johor ada modal mereka boleh melabur. Selain itu juga ia menarik pelaburan di peringkat negara yang berniliai bilion ringgit.

"Faedah dalam pelbagai bentuk termasuk membuka banyak peluang-peluang pekerjaan. Kalau mahu lebih jelas pihak pengurusan Iskandar Malaysia boleh jawab dengan statistik kepada Anwar Ibrahim," katanya.

Artikel Lain