suria

Empat Lelaki Menyamar Anggota AADK Samun Pemuda Ditahan Polis

KUANTAN: Empat lelaki yang menyamar sebagai anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebelum menyamun seorang pemuda di bandar Mentakab awal pagi Khamis, berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP ACP Aziz Salleh berkata, suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan di kawasan sama sejurus pihak polis menerima laporan kejadian itu.

"Tindakan pantas polis berjaya menahan empat suspek berkenaan selepas dua jam laporan dibuat," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Terdahulu, seorang pemuda, 20, kerugian RM600 selepas disamun empat lelaki yang menyamar sebagai anggota AADK di bandar Mentakab, dekat Temerloh yang bertindak mengepungnya semasa berjalan kaki sendirian untuk pulang ke rumahnya pada pukul 1 pagi.

Bagaimanapun, kata Aziz, selepas menyamun mangsa terbabit, suspek melepaskan mangsa tanpa mencederakannya lalu mangsa pulang ke rumah dan bergegas membuat laporan polis. "Keempat-empat suspek kini ditahan reman di Balai Polis Temerloh sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. -BERNAMA

Artikel Lain