suria

Dakwaan Nik Aziz Keluarkan Fatwa Mengelirukan Adalah Ujian PAS Tegakkan Islam

KOTA BARU: Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan mengeluarkan fatwa mengelirukan adalah satu ujian kepada parti itu dalam usaha menyebarkan kebenaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, golongan nabi juga turut pernah ditohmah sebagai orang gila atau tidak siuman dalam usaha mereka untuk mengetengahkan kebenaran tentang Islam.

"Kita (PAS) juga akan menghadapi perkara seperti itu dalam usaha mengetengahkan kebenaran dalam masyarakat. Ia sebagai suatu ujian dalam gerakan Islam," katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubungan PAS Kelantan di sini, Khamis.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai timbulnya dakwaan bahawa Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS telah menyebarkan fatwa yang mengelirukan kepada rakyat sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pendekatan parti adalah tetap dalam memperjuangkan tentang Islam agar berada pada landasan yang benar.

"Bukan masalah fakta yang salah (fitnah) tetapi masalah tuduh-menuduh dan mengata dengan budaya-budaya yang tidak baik untuk masyarakat.

"Sepatutnya sebagai orang Islam yang berakhlak adalah wajar untuk kita menjelaskan. Kalau dari segi ilmiah, apa salahnya apabila kita perlu berbincang, ia perlu diperbincangkan," katanya.

Beliau menambah, jika sesuatu pendekatan yang diambil itu berbeza dengan dari segi pendapat ulama perkara itu ia seharunya diperbincangkan dalam bentuk keilmuan, kuliah atau pun muzakarah.

Artikel Lain