suria

Calon Muka Baru BN Yakin Tawan Semula DUN Lukut

PORT DICKSON: Walaupun berdepan cabaran sengit calon DAP, calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut, Vincent Yeong Seng Wong yakin BN mampu meraih sokongan pengundi sekali gus memenangi kerusi itu, pada pilihan raya umum (PRU) ini.

Katanya, walaupun DUN Lukut disandang calon parti pembangkang, ia bukan kubu kuat pembangkang kerana kerusi itu sebelum ini, milik BN namun jatuh ke tangan pembangkang pada PRU 2008.

"Saya yakin BN ada peluang untuk bersaing di DUN Lukut ini dan menang kerana kita (BN) pernah menang kerusi ini dahulu pada 2004 dan di sini bukan kubu kuat pembangkang.

"Mereka (pembangkang) menang pada 2008 kerana tsunami politik dan senario ketika itu," katanya ketika ditemui semasa sesi berkempen di Kampung Sri Parit, Lukut di sini, Khamis.

Katanya, berbeza dengan senario sekarang, pengundi Cina khususnya diyakini akan menyokong BN selepas menyaksikan kegagalan wakil rakyat pembangkang sebelum ini untuk menggalas dan melaksanakan tanggungjawab sepanjang tempoh lima tahun.

Yeong berkata, beliau memegang pelbagai jawatan dalam persatuan Cina di peringkat daerah dan negeri dan akan menggunakan platform berkenaan untuk menyampai dan menjelaskan agenda dan dasar kerajaan kepada anggota persatuan.

"Saya yakin dan percaya anggota di dalam persatuan yang saya sertai menyokong perjuangan BN. Saya juga melihat kaum Melayu dan India di kawasan ini juga telah kembali menyokong BN," katanya yang juga Timbalan Ketua MCA Telok Kemang.

Seorang pengundi di DUN itu, Liang Yock Chooy, 59, berkata masyarakat Cina di kawasan ini pastinya akan memberi sokongan kepada BN selepas kecewa dengan khidmat pembangkang selama ini.

"Saya berharap kaum Cina di Lukut ini memberi sokongan kepada BN memenangi DUN ini. Pembangkang tidak buat kerja selama mereka berkhidmat. Saya yakin kerusi DUN ini akan beralih kepada BN seperti 2004," katanya.

Kerusi DUN Lukut ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Yeong dengan calon DAP yang juga penyandang iaitu Ean Yong Tin Sin yang telah menewaskan calon BN Cheok Leong Huat dengan majoriti 2,418 undi pada PRU 2008. -BERNAMA

Artikel Lain