suria

BN Patut Menang Di Kedah - Tun M

PADANG TERAP: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) berupaya untuk merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Tegas beliau, berdasarkan senarai calon yang mewakili BN pada pilihan raya umum kali ini, tidak mustahil akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Semua yang ada adalah barisan calon yang baik dan bagi saya mereka patut menang," katanya pada sidang media selepas berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat di sini, Khamis.

Malah katanya, semangat luar biasa yang ditunjukkan jentera BN turut menggambarkan kesungguhan parti itu untuk membentuk kerajaan di Kedah.

"Mereka kerja keras untuk menang. Keadaan ini berbeza daripada 2008. Malah orang ramai yang hadir ke majlis ceramah seperti ini juga menunjukkan minat yang tinggi, mereka berminat untuk dengar," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa pencalonan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam adalah sebagai usaha meneruskan legasinya di Kedah, beliau bagaimanapun segera memaafkan pemimpin veteran PAS itu.

"Tak mengapalah, katalah apa sahaja. Saya maafkan dia. Dia orang baik, cuma salah masuk parti," katanya sinis.

Artikel Lain