suria

Bilik Gerakan BN Di Buntong Dilempar Botol Berisi Petrol

Polis sedang memeriksa kenderaan dinaiki suspek yang terbabas.
Polis sedang memeriksa kenderaan dinaiki suspek yang terbabas.
Polis sedang memeriksa kenderaan dinaiki suspek yang terbabas.

IPOH: Sebuah bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di kawasan Buntong nyaris terbakar apabila sekumpulan lelaki bertindak melemparkan botol yang mengandungi petrol (Molokov Cocktail) ke arahnya.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi Khamis, terdapat seorang pengawal di bilik gerakan ini, namun hanya berlaku kerosakan kecil.

"Berlaku sedikit kerosakan di bilik gerakan itu kerana botol yang dibaling tidak terbakar sepenuhnya," katanya kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat polis kontinjen Perak dekat sini, Khamis.

Menurut Shukri berlaku adegan kejar-mengejar di antara Pasukan Cantas yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan dengan kumpulan suspek yang memandu kenderaan jenis Nissan.

Pasukan Cantas merupakan pasukan khas yang ditubuhkan polis Perak bagi memantau keselamatan sepanjang tempoh berkempen dan pilihan raya.

Mengulas lanjut Shukri berkata kenderaan suspek terbabas kira-kira lima kilometer dari lokasi insiden dan kesemua suspek melarikan diri.

"Pihak polis telah melihat tiga lelaki berketurunan India berkeliaran lari untuk mengelak daripada ditangkap polis," katanya.

Hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat dua lagi botol yang turut mengandungi petrol di dalam kereta yang dipandu suspek, yang hampir sama ditemui di bilik gerakan berkenaan.

Polis turut menemui lima bilah parang di bahagian belakang kereta.

"Pemeriksaan awal polis mendapati nombor pendaftaran kenderaan ini adalah nombor pendaftaran palsu," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa kenderaan yang digunakan suspek adalah kenderaan yang dilaporkan telah dicuri di Damansara kira-kira sebulan lalu.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek ingin menimbulkan keresahan dalam masyarakat sempena pilihan raya dan untuk menakut-nakutkan masyarakat.

Shukri berkata kejadian khianat seperti ini adalah yang pertama di Perak dan pihak polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat awam termasuklah di bilik-bilik gerakan, kawasan ceramah dan lokasi-lokasi lain.

"Polis menasihatkan BN dan pembangkang serta jentera dan penyokong supaya tidak menggunakan pendekatan seperti ini yang boleh menjejaskan keselamatan awam," katanya.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.

Mereka yang ditangkap dan sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun.

Artikel Lain