suria

Rancangan PR Agihkan Saham Air Kepada Rakyat Satu Fenomena Membimbangkan - Pakar Air

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengagihkan saham air kepada rakyat Selangor jika mereka berjaya menstrukturkan semula industri air akan menjadikan industri itu lebih kuno lagi daripada statusnya sekarang yang sudah pun 'sangat kuno', menurut pakar air negara, Profesor Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Dr Zaini yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang itu - sejak berstatus mahasiswa di England hingga ke peringkat profesor - beliau berasa kecewa kerana tahap industri ini masih tidak berkembang maju.

Dalam satu temu ramah dengan Bernama, beliau berkata, industri itu akan terus ketinggalan jauh ke belakang kerana rancangan pengagihan saham air sama seperti 'memiliknegerikan' industri air dan ini akan mengakibatkannya sukar untuk berkembang dan tidak berdaya maju disebabkan pendapatan hanyalah sedikit berbanding keperluan air sebenar.

Dr Zaini merupakan penerima pertama Anugerah Merdeka pada 2009 bagi kategori pencapaian ulung akademik dalam bidang pengurusan dan teknologi rawatan air dan air sisa, strategi pelestarian sumber dan ekologi industri.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa dan editor jurnal antarabangsa Water Science & Technology sejak tahun 2000.

Beliau berkata, dari segi per kapita, tarif air di Malaysia adalah yang paling rendah di dunia dan di Selangor pula penggunaan 20 meter padu pertama adalah percuma.

"Kita bayar air yang paling murah di dunia kecuali Arab Saudi. Saya telah buat kajian ini sejak 2004/2005. Saya fikir, kalau kita sanggup beli rokok, tidak berkira beli kad prabayar untuk SMS dan sebagainya, air yang kita bayar ini sangat murah," ujarnya.

Dr Zaini berpendapat, isu air di Selangor bertambah rumit kerana projek loji air Langat 2 sudah pun siap 70 peratus.

"Isunya kita tak boleh biarkan terbengkalai 70 peratus yang sudah siap. Takkan kita minta balik duit... Langat 2 mesti diteruskan pada masa sama NRW (air tanpa hasil) juga mesti dikurangkan. Dua-dua mesti buat," katanya.

Ditanya mengenai keghairahan kerajaan Selangor sekarang mempolitikkan isu air yang menyukarkan lagi usaha kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah air, Dr Zaini berkata jika ini berterusan, negara berkemungkinan akan menjadi bahan ketawa pihak luar.

Beliau berkata demikian sebagai seorang yang biasa berkaitan dengan 'diplomasi air' antarabangsa dan telah diundang ke Amerika Syarikat dan banyak negara lain untuk berbincang tentang bagaimana menyelesaikan perbalahan antara dua negara dari segi air.

"Tetapi dalam negara saya sendiri, kita menghadapi masalah bagaimana antara kerajaan Selangor dan operator air tidak boleh bersatu padu. Saya tinggal di Johor Baharu dan kadang-kadang kawan saya di Singapura bertanya tentang apakah susah untuk menyelesaikan masalah air?

"Saya fikir ini satu perkara yang diketawakan kalau orang mengadakan satu kajian tentang pengurusan air. Saya fikir ini akan jadi satu kes yang diambil untuk dijadikan tontonan kepada dunia bahawa kita dalam keadaan banyak air, sebabkan ada dua pihak yang berbeza dari segi maklumat, tentang kepakaran bekalan air akhirnya menyebabkan kita tidak membuat satu tindakan yang tepat," kata beliau.

"Masyarakat juga mesti kurangkan penggunaan air. Saya fikir perkara-perkara asas seperti tenaga elektrik, bekalan air, walaupun kita maklum tentang keperluan sesebuah entiti politik itu berpolitik tapi jangan sampai merosakkan masa depan masyarakat kita.

"Jangan sampai apabila ada pembangunan, air pula tidak cukup dibekalkan. Kalau itu berlaku, saya fikir kita sebenarnya mengundang masalah sendiri dan harus diambil tindakan. Kalau dari segi pengundian, harus diadili dengan sebaik-baiknya oleh rakyat," kata pakar air itu.

Dr Zaini berkata, adalah amat pelik sebuah negara yang dikurniakan banyak air dan mempunyai ramai pakar air khususnya dalam kepakaran wilayah iklim tropika, kerajaan Selangor tidak dapat menyelesaikan isu air yang mudah seperti yang dihadapi sekarang.

"Jadi maknanya, kita meletakkan kepentingan peribadi, kepentingan politik kepartian mengatasi kepentingan masyarakat pada keseluruhannya," katanya. - BERNAMA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain